MCA tiada hak, walaupun cadangan - Utusan Malaysia

MCA tiada hak, walaupun cadangan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 3 Dis. – Walaupun hanya cada­ngan, MCA tidak mempunyai sebarang hak untuk mencadangkan supaya Barisan Nasional (BN) dibubarkan.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, setiap keputusan harus diputuskan secara konsensus atau sepakat bersama parti-parti kom­ponen lain dalam BN.

Beliau yang juga Pengerusi BN menegaskan, kepemimpinan MCA sepatutnya mencari jalan untuk memperkukuhkan parti selain menyedari kedudukan mereka di Parlimen yang hanya memiliki satu kerusi.

“MCA tidak mempunyai hak untuk mencadangkan supaya BN dibubarkan. Walaupun, ia cuma cadangan, mereka harus mengetahui bahawa sebarang keputusan yang dibuat oleh BN hendaklah dibuat secara konsensus atau sebulat suara.

“Biarpun begitu kita menghormati keputusan yang dibuat MCA dan tentunya mereka tahu apa yang harus dilakukan untuk memperkukuhkan parti MCA sendiri kerana dalam Parlimen mereka cuma tinggal satu kerusi yang majoriti pengundinya Mela­yu,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, hari ini.

Tambah Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk, MCA juga harus mencari ikhtiar untuk memastikan parti tersebut relevan dalam landskap politik negara.

Semalam, Perhimpunan Agung MCA Ke-65 sebulat suara memberi kuasa kepada Jawatankuasa Pusat (CC) parti itu bagi memulakan proses pembubaran BN dan membentuk perikatan baharu.

Presidennya, Datuk Seri Wee Ka Siong dilaporkan berkata, keputusan itu dicapai sebulat suara dalam kalangan 1,636 perwakilan yang menghadiri perhimpunan berkenaan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN