KLANG – Seorang lelaki dipercayai mak nyah yang mati selepas dibelasah sekumpulan lelaki menggunakan senjata tumpul di hadapan sebuah hotel di Bukit Tinggi di sini Rabu lalu berpunca akibat didakwa mencuri telefon bimbit pelanggannya.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, motif kejadian tersebut diketahui hasil penangkapan empat suspek bermula pukul 10 malam pada Khamis lalu sehingga pukul 6.30 petang semalam di sekitar daerah ini.
Katanya, kesemua suspek berusia 16 hingga 21 tahun.
“Soal-siasat dilakukan mendapati kesemua suspek mengaku terlibat dalam kes tersebut bersama seorang lagi suspek masih diburu.
“Hasil siasatan awal turut mendapati motif kejadian disebabkan mangsa berusia 32 tahun itu didakwa telah mencuri telefon bimbit milik salah daripada suspek semasa melanggan mangsa pada November lalu,” katanya ketika dihubungi sebentar tadi.
Beliau menambah, polis telah mendapat perintah tahanan reman terhadap dua suspek selama 6 hari bermula semalam manakala dua lagi akan dimohon reman pagi ini.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.
Kosmo! Online sebelum ini melaporkan seorang mak nyah mati dibelasah sekumpulan lelaki menggunakan senjata tumpul selepas ditemui terbaring oleh pengawal keselamatan pukul 7 pagi di hadapan sebuah hotel di Bukit Tinggi di sini pada Rabu lalu.
Mangsa berasal dari Sabah itu disahkan meninggal dunia pukul 10.47 pagi kelmarin di Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang selepas menerima rawatan hampir 27 jam.
Hasil bedah siasat mendapati terdapat 32 kecederaan pada seluruh badan mangsa dengan pendarahan yang teruk termasuk di bahagian otak dan retak pada tengkorak. – K! ONLINE










