IPOH 3 Dis. – Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming mengesyorkan kerajaan negeri supaya menjual taman tema animasi Movie Animation Park Studios (MAPS) di Bandar Meru Raya dengan tender terbuka agar tidak lagi dibebankan dengan hutang pinjaman bank yang besar.
Kor Ming berkata, kerajaan negeri tidak sepatutnya bertanggungjawab menguruskan taman tema kerana ia boleh menjejaskan usaha untuk menjaga kebajikan rakyat, apatah lagi mereka tidak mempunyai kepakaran dalam bidang tersebut.
“Pada saya, langkah pertama ialah kerajaan patut melakukan kajian kebolehlaksanaan dan exco harus membuat keputusan sama ada ingin menjualnya atau tidak dan jika ingin menjualnya, bagaimana caranya. Saya menghargai segala usaha kerajaan negeri yang sedang cuba sedaya upaya untuk menyelamatkan MAPS termasuk memberikan pakej diskaun dan lain-lain.
“Namun, laporan yang saya terima, pilihan terbaik ialah kita menghentikan kerugian. Jika kita tidak hentikan kerugian sekarang, kita akan berdepan kerugian lebih besar selepas ini. Namun, jika diberikan kepada sektor swasta yang mempunyai kepakaran untuk mengoperasinya, ia boleh membawa keuntungan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di luar Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak Ke-14 di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.
Dalam pada itu, Kor Ming berkata, cadangan yang diutarakannya itu juga selaras dengan saranan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad bahawa kerajaan tidak seharusnya terlibat dalam perniagaan.
Menurut beliau, sektor swasta seharusnya dibiarkan berkembang sementara kerajaan harus bertindak dengan memudahkan pelaburan kerana apabila kerajaan memasuki pasaran sebagai pesaing, ia akan menjadi penghalang besar kepada pihak swasta untuk berjaya.
“Malaysia ini sepatutnya (bertindak) sebagai satu perbadanan dan pihak swasta menjalankan perniagaan. Kita berdoa supaya mereka untung banyak supaya akhirnya sektor swasta akan membayar hasıl kepada kerajaan. Suka atau tidak suka, syarikat kena bayar 25 peratus cukai syarikat.
“MAPS adalah contoh terbaik. Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) memiliki tanahnya. Jika meraka mengikut perancangan asal, hanya menyewakan 50 ekar tanah kepada pihak swasta, maka pada hari ini, mereka berada dalam zon selesa dengan hanya mengutip bayaran sewa. Mereka tidak perlu bimbang sama ada terdapat pengunjung ke MAPS atau tidak,” katanya. – UTUSAN ONLINE










