KUALA TERENGGANU 18 Dis. – Keadaan cuaca yang semakin baik membolehkan lebih ramai mangsa banjir di negeri ini pulang ke rumah masing-masing, hari ini.
Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, Lt. Kol (PA) Che Adam Abdul Rahman berkata, setakat pukul 9.45 pagi ini, jumlah mangsa banjir yang dipindahkan berkurangan kepada 853 orang berbanding 1,020 orang yang direkodkan awal pagi ini.
Katanya, dengan penutupan enam pusat pemindahan di Kuala Nerus dan Setiu pagi ini menjadikan hanya lapan yang masih beroperasi iaitu di Marang dan Kuala Terengganu.
“Di Marang, seramai 552 orang daripada 141 keluarga masih ditempatkan di empat pusat pemindahan di Sekolah Kebangsaan (SK) Marang, SK Pasir Puteh, SK Gasing dan SK Rusila.
“Di Kuala Terengganu mangsa yang mendiami empat pusat pemindahan adalah seramai 301 orang daripada 77. InsyaAllah, hari ini kita jangkakan cuaca beransur baik,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE










