Mangsa banjir di Terengganu meningkat pagi ini - Utusan Malaysia

Mangsa banjir di Terengganu meningkat pagi ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU – Situasi banjir di Terengganu tidak banyak berubah pagi ini dengan hanya sedikit peningkatan mangsa iaitu 163 orang daripada 45 keluarga setakat 8 pagi ini berbanding 149 mangsa daripada 39 keluarga malam tadi.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Terengganu, Leftenan Kolonel Che Adam A. Rahman berkata, jumlah Pusat Pemindahan Sementara (PPS) juga kekal empat iaitu tiga di Hulu Terengganu dan satu di Dungun.

“Jumlah mangsa bertambah di PPS Kampung Pengkalan Ajal di Hulu Terengganu iaitu 64 orang (20 keluarga) berbanding 50 orang daripada 15 keluarga malam tadi.

“Dua lagi PPS di Hulu Terengganu ialah PPS di Kampung Sekayu yang menempatkan 45 orang daripada 10 keluarga dan Balai raya Kampung Pelandan (22 orang daripada lapan keluarga) manakala satu PPS di Dungun iaitu di Surau Besol Lama pula menempatkan 32 orang daripada tujuh keluarga ketika ini,” katanya.

Sementara itu, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melalui portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) pula melaporkan hanya dua sungai di Setiu melepasi paras amaran. – Bernama

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN