PADANG TERAP 3 Dis. – Nahas jalan raya yang mengorbankan seorang lelaki di Jalan Batu 19, Kuala Nerang berhampiran Masjid Tengku Sharafuddin Badlishah di sini pada Jumaat lalu sepatutnya membuka mata pihak berwajib mengenai risiko kemalangan di kawasan itu.
Dakwa penduduk, kewujudan pembahagi jalan sepanjang 400 meter di kawasan memasuki masjid itu menyebabkan mereka terpaksa pergi ke tengah jalan apabila ingin membuat pusingan U sekali gus mengundang risiko kemalangan.
Lebih mendukacitakan kawasan tersebut yang menjadi laluan utama penduduk Kuala Nerang ke Alor Setar juga dikatakan tidak mempunyai lampu jalan.
Penduduk, Rosli Abdullah, 58, berkata, jemaah masjid atau penduduk di kawasan taman berhampiran terpaksa pergi ke tengah jalan akibat kewujudan pembahagi jalan berkenaan.
Katanya, kemalangan sering kali berlaku apabila penduduk khususnya jemaah masjid membuat pusingan U ketika laluan utama itu menjadi tumpuan kenderaan lalu lalang khususnya lori besar.
“Kira-kira enam bulan kewujudan pembahagi jalan itu, sudah berbelas kali kemalangan berlaku termasuk melibatkan nahas mengorbankan nyawa.
“Harapan kita agar pembahagi jalan itu dibuang bagi memudahkan pengguna khususnya para jemaah keluar masuk ke masjid tersebut. Saya lihat kewujudan pembahagi jalan itu tidak perlu selain menjadi punca kemalangan,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini. – UTUSAN ONLINE










