Lompat parti bukan Malaysia Baharu - Maria Chin - Utusan Malaysia

Lompat parti bukan Malaysia Baharu – Maria Chin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 15 Dis. – Tindakan lompat parti yang semakin rancak dilakukan beberapa ahli Parlimen baru-baru ini terus mendapat tentangan daripada pelbagai pihak.

Terbaharu, Ahli Parlimen Petaling Jaya, Maria Chin Abdullah turut menyuarakan rasa tidak senang hatinya atas tindakan itu.

Menulis dalam laman Twitter miliknya, Maria berpendapat perbuatan itu perlu dihentikan kerana ia tidak selaras dengan kehendak rakyat yang mengundi dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu.

“Hentikan ‘hopping’ (melompat parti). Pada 9 Mei rakyat menukar kerajaan kerana mahu hapuskan korupsi dan hentikan penyalahgunaan kuasa.

“Tak boleh terima ahli-ahli UMNO yang telah 61 tahun menyokong, membantu dan menjadi sebahagian daripada korupsi,” katanya.

Kenyataan tersebut ditutup dengan tanda pagar #BukanMalaysiaBaharu.

Setakat semalam, seramai 17 Ahli Parlimen UMNO telah mengumumkan keluar parti selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dan dijangka akan menyertai salah satu parti komponen Pakatan Harapan (PH) tidak lama lagi.

Perkara itu mendapat tentangan banyak pihak, namun tidak kurang juga yang menyokong atas alasan untuk memastikan kerajaan mempunyai sokongan dua pertiga dalam Parlimen.

Alasan tersebut juga tidak boleh diterima Maria yang sekali lagi menulis menggunakan tanda pagar yang sama sejam kemudian.

“Tetapi apa makna kerajaan kalau dipenuhi ahli-ahli yang korup atau tidak bersuara menentang korupsi selama 61 tahun?” soalnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN