KUALA LUMPUR – Seorang lelaki maut ketika sedang mengikuti aktiviti mendaki di sebuah bukit di Jalan DU 6, Damansara Utama di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 4.55 petang itu, mangsa, Chan Wing Yeun, 54, tidak sedarkan diri sebelum disahkan maut oleh pasukan perubatan dari Hospital Serdang.
Pegawai Operasi Zon Petaling, Penolong Penguasa Bomba Muhammad Zaikunor Afendi Muhammad Nordin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan dan bergegas ke lokasi kejadian untuk membawa mangsa turun.
“Pihak kami mengambil masa kira-kira tiga jam untuk tiba di lokasi mangsa setelah menerima panggilan daripada kumpulan pendaki yang lain sejurus mangsa tidak sedarkan diri.
“Setibanya di lokasi, pihak kami membuat pemeriksaan awal ke atas mangsa sebelum membawa turun menuruni bukit berkenaan dengan menggunakan pengusung untuk ke kem induk. Kami tiba di tapak tersebut kira-kira pukul 10 malam ekoran keadaan jalan yang cerun dan licin akibat hujan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Jelasnya, seramai enam anggota dan sebuah jentera dikerahkan ke lokasi kejadian.
Dalam pada itu, Zaikunor memberitahu, mangsa bersama-sama dengan enam pendaki lain mendaki bukit berkenaan kira-kira pukul 1.15 petang semalam.
“Sewaktu dalam perjalanan menuruni bukit tersebut, mangsa tiba-tiba tidak sedarkan diri dan pendaki yang lain terus menghubungi pihak kami.
“Mangsa kemudiannya disahkan meninggal dunia oleh pihak Hospital Serdang setelah tiba di kem induk. Mangsa diserahkan kepada pihak polis dan dibawa ke Hospital Serdang untuk proses siasatan lanjut,” ujarnya. – K! ONLINE










