Lapan individu terlibat kekecohan kuil tiba di mahkamah - Utusan Malaysia

Lapan individu terlibat kekecohan kuil tiba di mahkamah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA – Seramai lapan individu yang terlibat dalam kekecohan di Kuil Sri Maha Mariamman, Subang Jaya, minggu lalu tiba di pekarangan kompleks mahkamah di sini sebentar tadi bagi menghadapi pertuduhan.

Mereka tiba pada pukul 11.24 pagi dengan menaiki trak polis diiringi beberapa anggota yang kemudian di bawa ke Mahkamah Majistret yang kesemuanya dilihat menutup muka menggunakan baju lokap.

Lima daripada mereka dijangka dituduh mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh dengan senjata.

Tiga lagi masing-masing didakwa mengikut Seksyen 79 Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Peraturan 25(1)(n) Peraturan Pendaftaran Negara, Seksyen 151 Kanun Keseksaan kerana menyertai perhimpunan lebih daripada lima orang dan selepas perhimpunan itu diperintahkan bersurai serta Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan.

Sementara itu, di luar mahkamah puluhan ahli keluarga dan rakan tertuduh dilihat mula berkumpul selain turut hadir Ahli Parlimen Cameron Highlands, Datuk C. Sivarraajh.

Dalam kejadian awal pagi pada 26 November itu, 23 kenderaan musnah dibakar, manakala cermin pusat beli-belah One City turut dipecah dan dirosakkan.

Akibat kejadian itu, seorang anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya, Muhammad Adib Mohd. Kassim, 24, diserang perusuh dan kini dilaporkan masih berada di dalam tahap kritikal namun stabil di Institut Jantung Negara (IJN). – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN