KUALA LUMPUR 15 Dis. – Aiskrim adalah pencucui mulut yang digemari oleh setiap lapisan peringkat umur.
Lebih-lebih lagi apabila cuaca panas terik, aiskrim menjadi pilihan untuk menghilangkan dahaga dan menyejukkan tekak.
Tanpa modal runcit yang besar dan tidak memerlukan kepakaran tinggi, aiskrim menjadi produk pilihan untuk memulakan perniagaan bagi wanita yang berasal dari Negeri sembilan ini.
Siti Fatimah Hussin, 58, mula melibatkan diri dalam perniagaan aiskrim tiga tahun lalu kerana ingin membantu suami dan menambah baik taraf ekonomi keluarganya.
Menurut Siti Fatimah, sebelum ini dia bekerja sebagai pengasuh dan suaminya, Mohd. Zain Abd. Ghani, 63, pula bekerja sebagai pemandu van pelancong.
“Titik tolak yang menyebabkan saya nekad untuk berniaga apabila kerja yang dilakukan suami kurang mendapat sambutan. Bilangan pelancong semakin berkurang dari hari ke hari, ditambah dengan persaingan sengit dalam industri pelancongan.
“Saya memasang niat untuk berniaga dan mula membuat kajian melalui carian di internet jenis perniagaan yang hanya memerlukan modal rendah.
“Akhirnya saya berjaya menjumpai produk yang disukai ramai tanpa mengira usia dan lebih penting, ia boleh dihasilkan dengan modal serendah RM4 iaitu aiskrim,” katanya di sini baru-baru ini.
Jelas ibu kepada tiga orang cahaya mata ini, bagi memastikan rancangannya untuk berniaga berjalan lancar, dia terlebih dahulu perlu menimba ilmu dan mengetahui asas perniagaan.
“Saya mula mengikuti kelas pembuatan ais krim di Kuala Kubu Baru di bawah bimbingan seorang usahawan muda. Antara aspek yang saya pelajari sebelum mula berniaga adalah resepi membuat aiskrim, kaedah pemasaran dan pengurusan operasi bagi perniagaan ini.
“Setelah mengikuti kursus tersebut, saya dapat melihat dengan lebih jelas potensi perniagaan dan apa yang lebih penting, saya tahu ke mana hala tuju perniagaan saya nanti. Ini membuatkan saya lebih yakin untuk berjaya dalam perniagaan yang diceburi,” ujarnya.
Berkongsi dengan lebih lanjut, Siti Fatimah berkata, setelah tiga tahun menjalankan perniagaan aiskrim di bawah jenama Ctzain Ice Cream, sambutan yang diterima sangat menggalakkan dan di luar jangkaan.
“Pada mulanya saya hanya menjual aiskrim dari rumah dan menerima tempahan secara kecil-kecilan. Lama kelamaan, aiskrim Ctzain semakin mendapat sambutan dan saya mula menerima tempahan dalam skala yang lebih besar, misalnya untuk majlis kenduri, hari jadi dan majlis korporat.
“Dengan perniagaan yang semakin berkembang, saya memerlukan kos yang lebih besar. Ini menjadi satu cabaran buat saya apabila perlu mencari modal pusingan tambahan.
“Saya mengambil keputusan untuk memohon bantuan Skim Perniagaan daripada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).
“Bantuan zakat untuk berniaga dari MAIWP sebanyak RM3,000 yang diterima saya gunakan untuk membeli beberapa barang tambahan dan alhamdulillah, kini saya mampu meraih pendapatan kasar sekitar RM8,000 sebulan,” jelasnya.
Bercerita dengan lebih lanjut, Siti Fatimah berkata, pihak MAIWP juga sentiasa memantau dan memberikan kursus secara percuma agar perniagaan yang dijalankannya berjalan lancar.
Dalam masa yang sama, Ctzain Ice Cream berjaya memiliki kiosk sendiri yang terletak di Wonderland Lake Park, Selayang dan Underground Dataran Merdeka.
Berkat kesungguhan yang ditunjukkannya, Siti Fatimah telah dipilih dan diumumkan sebagai antara penerima Anugerah Tokoh Baitulmal baru-baru ini.
Menurut Siti Fatimah, apa yang dilaluinya untuk berjaya seperti hari ini bukanlah mudah dan tanpa menghadapi sebarang halangan dan cabaran.
Sebaliknya, sepanjang tiga tahun bergelar usahawan, perniagaannya mengalami naik turun, namun dengan sokongan suami dan anak-anak, semangat wanita ini tidak pernah luntur untuk terus maju.
“Seperti kata pepatah Melayu, kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya. Sekiranya ingin mengecapi kejayaan, kita perlu berusaha sehabis baik.
“Gunakan setiap peluang yang anda ada dengan bijak dan sentiasa mencuba sesuatu yang baharu. Ini kerana, kita tidak akan tahu sejauh mana potensi diri kita selagi belum mencuba,” katanya.










