KPM tawar 60 peratus tempat untuk murid B40 di sekolah asrama penuh - Utusan Malaysia

KPM tawar 60 peratus tempat untuk murid B40 di sekolah asrama penuh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA – Kementerian Pendidikan akan menawarkan sehingga 60 peratus daripada keseluruhan penempatan di Sekolah Berasrama Penuh (SBP) kepada pelajar dalam kalangan golongan B40 bagi pengambilan sesi persekolahan tahun depan.

Menerusi satu kenyataan, pihak kementerian bagaimanapun berkata, tawaran ke Tingkatan 1 di SBP itu juga mengambil kira beberapa faktor lain seperti pemilihan sekolah oleh pemohon, kapasiti enrolmen sesebuah sekolah, jantina dan lokaliti pemohon.

“Mulai tahun 2019, pihak kementerian memutuskan untuk mengembalikan semangat SBP iaitu bagi membantu pelajar berpotensi golongan B40 selari dengan dasar kerajaan baharu untuk terus membantu golongan kurang berada memperoleh kemudahan pendidikan berkualiti.

“Justeru, pengambilan kali ini akan memberikan lebih banyak peluang kepada anak-anak keluarga B40 sama ada dari kawasan luar bandar, miskin kota dan anak-anak anggota beruniform,” katanya kenyataan itu di sini hari ini.

Tambah kenyataan itu, Kementerian Pendidikan telah menerima sebanyak 77,487 permohonan kemasukan ke SBP untuk pengambilan tahun hadapan.

Menurutnya, daripada jumlah itu, sebanyak 21,841 dikenal pasti melepasi asas-asas syarat kelayakan antaranya warganegara Malaysia dan mencapai tahap minimum dalam Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR). – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN