Kontraktor dijel 7 hari, denda RM10,000 - Utusan Malaysia

Kontraktor dijel 7 hari, denda RM10,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU – Seorang kontraktor muda dijel tujuh hari dan denda RM10,000 selepas mengaku salah di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan membuat tuntutan palsu ke atas Pejabat Pembangunan Kementerian Belia dan Sukan daerah Segamat, tiga tahun lalu.

Hakim Kamarudin Kamsun turut memerintahkan tertuduh, Syed Azrol Affandi Syed Rahmad, 32, dipenjara enam bulan jika dia gagal membayar denda tersebut selepas mengaku atas pertuduhan alternatif.

Mengikut kertas pertuduhan, dia didakwa dengan curang mendorong Pegawai Tadbir Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Tazrina Ahmad meluluskan pembayaran bagi pembekalan di invois bertarikh 19 dan 28 November 2015.

Pembekalan itu bagi program Bengkel Pertanian Moden (sayur-sayuran) peringkat daerah Segamat dan Program Kursus Asas Seni Kraf Felt peringkat daerah Segamat.

Perbuatan itu didakwa diketahui tertuduh bahawa pembekalan-pembekalan tersebut tidak dilaksanakan yang mana pegawai tadbir tersebut tidak akan meluluskan pembayaran sekiranya tidak diperdaya sedemikian. 

Kesalahan itu dituduh dilakukan Syed Azrol di Pejabat Pembangunan Kementerian Belia dan Sukan Segamat pada November 2015.

Dia didakwa mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang memperuntukan penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Di mahkamah sama, seorang pembantu pegawai tadbir, Norhazra Jamil, 34, dipenjara 14 hari dan denda RM20,000 selepas didakwa bersubahat Syed Azrol bagi membuat tuntutan palsu yang sama.

Kamarudin turut memerintahkan wanita itu dipenjara 12 bulan jika dia gagal membayar denda tersebut.

Mengikut kertas pertuduhan, Norhazra didakwa melakukan kesalahan itu di tempat dan masa yang sama selain dituduh mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan dibacakan bersama Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman yang sama.

Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Norsyarina Raiza manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam bela. – K! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN