MONACO 5 Dis. – Pelari maraton l Kenya, Eliud Kipchoge dan atlet lompatan Colombia, Caterine Ibarguen dipilih sebagai Atlet Terbaik Lelaki serta Wanita Persekutuan Persatuan Olahraga Antarabangsa (IAAF) 2018 hari ini.
Kejayaan Kipchoge mencatat rekod dunia acara maraton dengan masa 2 jam, 1 minit dan 39 saat di Berlin, September lalu menjadi faktor utama pemilihannya.
Atlet berusia 34 tahun itu yang juga juara Olimpik memadam rekod lama berusia 51 tahun milik Derek Clayton yang dilakukan pada 1967.
Dianggap atlet maraton terhebat era moden, Kipchoge memulakan dominasi sejak membuat penampilan di Hamburg pada 2013.
Sebelum itu, dia lebih menonjol dalam acara trek dengan memenangi emas (2003) dan perak (2007) dalam 5,000 meter dalam Kejohanan Dunia serta perak (2008) serta gangsa (2004) pada Sukan Olimpik dalam acara sama.
“Anugerah ini cukup bermakna buat saya.
“Ia adalah hasil kerja keras yang saya lakukan sepanjang karier,” kata Kipchoge yang mengakui anak-anaknya menjadi pendorong kepada kejayaan itu.
Ibarguen, 34, pula dipilih berdasarkan kejayaannya dalam acara lompat jauh, lompat tinggi dan lompat kijang di Amerika Tengah dan Sukan Caribbean, Piala Benua IAAF serta Liga Berlian IAAF 2018. – AFP











