PUTRAJAYA – Ketua Pegawai Operasi (COO) Lembaga Tabung Haji (TH), Datuk Adi Azuan Abdul Ghani ditahan reman selama empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan berhubung kes penggunaan syarikat kontraktor penghias dalaman yang dilantik oleh lembaga itu untuk kerja-kerja pengubahsuaian di rumahnya.
Perintah reman sehingga Sabtu ini terhadap lelaki berusia 48 tahun itu dikeluarkan oleh Majistret Shah Wira Abdul Halim di Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Perintah reman itu bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan terhadap Adi Azuan mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana yang lebih tinggi jika sabit kesalahan.
Terdahulu, beliau tiba di Mahkamah Majistret di sini kira-kira pukul 9.40 pagi selepas ditahan di ibu pejabat SPRM itu kira-kira pukul 8.35 malam semalam
Sementara itu, menurut sumber, beliau ditahan selepas dipercayai telah menerima rasuah berbentuk pengubahsuaian rumah berjumlah RM400,000 sebagai balasan telah memberi projek kerja kerja penjenamaan semula pejabat cawangan TH kepada sebuah syarikat yang melibatkan kos sebanyak RM15 juta. – K! ONLINE










