KUALA LUMPUR – Keadaan kesihatan Muhammad Adib Mohd. Kassim, anggota bomba yang cedera parah setelah dipukul sekumpulan perusuh dalam satu kejadian di Kuil Sri Maha Mariamman, Seafield, USJ25, Subang Jaya pada 27 November lalu kini dilaporkan semakin merosot.
Institut Jantung Negara (IJN) dalam satu kenyataan berkata, kesihatan Muhammad Adib menunjukkan kemerosotan dan fungsi paru-parunya mengalami penurunan beransur-ansur sejak 24 jam lepas.
“Selepas menjalankan penilaian menyeluruh, paru-paru anggota bomba itu didapati menunjukkan tanda-tanda konsolidasi dan pengerasan tisu, justeru menjadikan proses pertukaran gas tidak berkesan.
“Ini adalah akibat daripada kecederaan awal yang teruk pada paru-parunya. Pada masa sama, fungsi buah pinggangnya juga tidak menunjukkan peningkatan di mana beliau terus memerlukan sokongan dialisis,” kata kenyataan itu di sini hari ini.
Tambah kenyataan itu, keputusan untuk memasukkan semula sistem Veno-Venous ECMO pada pukul 9 malam tadi bagi membantu keperluan sistem pernafasannya telah dicapai susulan perkembangan tersebut serta selepas perbincangan pasukan daripada pelbagai disiplin dilakukan.
“Muhammad Adib kini sedang tenat dan berdasarkan keadaannya buat ketika ini kunjungan ke atasnya adalah dihadkan.
“Kami menyeru kepada semua rakyat Malaysia untuk terus berdoa agar Muhammad Adib segera sembuh,” ujar kenyataan itu.
Terdahulu, pada 27 November lalu, Muhammad Adib bersama pasukannya dari Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya telah pergi ke kuil berkenaan untuk memadamkan satu kebakaran kereta namun mereka telah diserang oleh sekumpulan perusuh sebelum Muhammad Adib dipukul sehingga mengalami kecederaan parah. – K! ONLINE










