PUTRAJAYA 3 Dis. – Keselamatan makanan negara berada dalam keadaan terancam apabila terdapat lambakan serius membabitkan racun makhluk perosak tidak berdaftar di pasaran tempatan.
Ketua Pengarah Jabatan Pertanian, Datuk Jamal Harizan Yang Razali berkata, masalah itu lebih serius membabitkan negeri-negeri bersempadanan dengan negara jiran seperti Perak, Kedah, Perlis dan Kelantan.
Beliau berkata, racun makhluk perosak tidak berdaftar dijual pada harga yang lebih murah berbanding racun berdaftar sekali gus menyebabkan golongan petani memilih jalan mudah untuk penjimatan.
“Sebagai contoh, racun paraquat yang tidak berdaftar dijual pada harga RM120 untuk dua liter berbanding racun berdaftar berharga RM160. Apabila harga murah mereka terus beli tanpa berfikir panjang.
“Penggunaan racun tidak berdaftar ini bukan sahaja menyebabkan keselamatan makanan negara terancam malah turut membahayakan kesihatan masyarakat dan merosakkan alam sekitar,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Jamal Harizan berkata, kesan penggunaan racun paraquat boleh menyebabkan kegagalan buah pinggang, kanser kulit, hidung berdarah sekiranya terdedah kepada semburan, selain racun berkenaan tiada antidot dan tidak mudah terurai dalam tanah.
Beliau berkata, bagi mengatasi masalah lambakan racun makhluk perosak tidak berdaftar, pihaknya melalui Unit Serbuan Bahagian Kawalan Racun Perosak dan Baja akan melakukan penguatkuasaan yang lebih kerap terutamanya membabitkan kawasan panas.
Terbaharu, kata Jamal Harizan, pihaknya berjaya merampas racun makhluk perosak yang tidak berdaftar di lima premis di Kinta dan Pengkalan Hulu, Perak pada 27 hingga 29 November lalu bernilai RM1.146 juta.
“Racun yang dirampas digunakan untuk kawalan rumpai dan serangga. Racun itu dipercayai mengandungi perawis aktif yang dihadkan penggunaannya seperti methamidhophos, monocrotophos dan paraquat yang mana jualan serta penggunaannya memerlukan permit,” katanya.
Dalam pada itu, Jamal Harizan turut mengingatkan pengguna dan petani agar tidak mudah terpedaya dengan sindiket yang menjual racun makhluk perosak tidak berdaftar dan mereka boleh mendapatkan maklumat melalui Sistem Maklumat Racun Makhluk Perosak (SISMARP) dalam laman sesawang Jabatan Pertanian di www.doa.gov.my.










