TEMERLOH 18 Dis. – Kesatuan Pekerja-Pekerja Jabatan Bomba dan Penyelamat Semenanjung Malaysia mahu tindakan tegas dan hukuman setimpal dikenakan terhadap individu yang memukul anggota bomba, Muhammad Adib Mohd. Kassim yang meninggal dunia malam semalam.
Pengerusinya, Zainal Abidin Nong Chik berkata, kejadian yang menimpa anggota bomba yang sedang bertugas itu tidak harus dikompromi sama sekali apatah lagi melibatkan kehilangan nyawa.
“Kesatuan Pekerja-pekerja Jabatan Bomba dan Penyelamat Semenanjung Malaysia berdukacita dengan apa yang berlaku sehingga menyebabkan kematian saudara kita.
“Sebagai mewakili pihak pekerja, kita memohon hukuman setimpal terhadap mereka yang terlibat dan tidak berkompromi dengan perbuatan itu,” katanya di sini hari ini.
Mohammad Adib Mohd. Kassim yang cedera parah dipukul dalam rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya bulan lalu disahkan meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) pada pukul 9.41 malam tadi.
Pada 10 Disember lalu, empat lelaki berusia antara 21 hingga 24 tahun yang dipercayai terlibat dalam kejadian pukul mangsa telah dibebaskan daripada reman dengan jamin bon mahkamah dan polis.
Mereka sebelum ini ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan. – UTUSAN ONLINE










