Kerani rugi RM10,900 ditipu Macau Scam - Utusan Malaysia

Kerani rugi RM10,900 ditipu Macau Scam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEPALA BATAS 9 Dis. – Seorang kerani sebuah syarikat di sini kerugian kira-kira RM10,900 selepas dipercayai terperdaya dengan sindiket Macau Scam semalam.

NOORZAINY MOHD. NOOR
NOORZAINY MOHD. NOOR 

Mangsa yang berumur 33 tahun itu pada mulanya menerima panggilan daripada seorang lelaki yang memperkenalkan diri sebagai pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan mendakwa kononnya terlibat dengan kes pengubahan wang haram.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, akibat terlalu takut dan terkejut, mangsa mengikut arahan suspek termasuk menyerahkan maklumat akaun bank.

“Mangsa melakukan sebanyak tiga transaksi pindahan wang ke dalam tiga akaun bank berlainan dalam masa dua hari melibatkan wang keseluruhan RM10,900.

“Mangsa kemudiannya diminta untuk ke balai polis terdekat untuk proses pemulangan semula wang sebelum mengetahui panggilan yang diterimanya adalah daripada sindiket  Macau Scam,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Tambah beliau, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Dalam pada itu, Noorzainy mengingatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan muslihat serta tipu helah sindiket.

Katanya, orang ramai juga diingatkan tidak mendedahkan maklumat peribadi seperti nombor akaun bank, nombor kad ATM atau nombor kad kredit kepada individu tidak dikenali.

“Jangan mudah panik dan mengikut arahan yang diberikan oleh pemanggil yang tidak dikenali, sebaliknya hubungi pihak polis atau organisasi yang terlibat untuk sebarang pengesahan,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN