Kematian Adib: Masyarakat jangan buat hukuman sendiri - Utusan Malaysia

Kematian Adib: Masyarakat jangan buat hukuman sendiri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA KEDAH 18 Dis. – Walaupun Muhammad Adib Mohd. Kassim meninggal dunia akibat kecederaan parah kerana dipukul oleh para perusuh di Kuil Maha Mariamman, namun masyarakat diminta supaya tidak membuat hukuman sendiri.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Luar Bandar, Agama dan Syarikat Berkaitan Kerajaan Negeri (GLC) Kedah, Datuk Dr. Ismail Salleh berkata, perkara berkenaan perlu diserahkan kepada pihak berkuasa untuk mengadili pelaku kejadian itu.

DR. ISMAIL SALLEH
DR. ISMAIL SALLEH 

“Kita sebagai rakyat perlu mengambil iktibar kepada kejadian ini, jangan sesekali menghukum dengan tangan sendiri.

“Jangan main sentimen agama atau bangsa, (tapi) memang kejadian ini tidak sepatutnya berlaku lebih-lebih lagi pada waktu bertugas,” katanya ketika ditemui pemberita di pekarangan rumah keluarga Allahyarham Muhammad Adib di sini.

Ismail yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kundor berkata, kerajaan negeri akan melihat segala bantuan yang diperlukan keluarga Allahyarham susulan kejadian berkenaan.

“Persiapan untuk upacara pengebumian sudah disiapkan sepenuhnya oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) tetapi kerajaan negeri akan terus melihat keperluan-keperluan lain.

“Saya juga akan menyampaikan khairat kematian kepada keluarga Allahyarham nanti,” katanya.

Muhammad Adib yang bertugas sebagai anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya disahkan meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) pada pukul 9.41 malam tadi.

Jenazah Allahyarham dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam di Kampung Tebengau Tepi Laut, di sini selepas Zohor nanti. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN