Kejar dua pertiga untuk ratifikasi ICERD? - Utusan Malaysia

Kejar dua pertiga untuk ratifikasi ICERD?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 15 Dis. – Hasrat kerajaan Pakatan Harapan (PH) memperoleh sokongan dua pertiga di Parlimen dikhuatiri akan meletakkan kedudukan orang Melayu dan Islam di negara ini dalam bahaya.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyuarakan kebimbangan tersebut melihat kepada trend lompat parti yang semakin rancak berjalan sekarang dan pendirian PH sebelum ini dalam isu ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).

Kata beliau, majoriti dua pertiga di Parlimen membolehkan kerajaan mempunyai kuasa untuk membuat pindaan apa jua perkara dan fasal dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Harus kita ingat kenyataan (Perdana Menteri) Tun (Dr. Mahathir Mohamad) berkaitan ICERD tidak boleh diratifikasikan adalah kerana mereka tidak mempunyai cukup majoriti dua pertiga untuk membuat pindaan kepada beberapa perkara dalam Perlembagaan Persekutuan sehingga membolehkan mereka meratifikasikan ICERD.

“ICERD senang sahaja diratifikasikan apabila majoriti dua pertiga dimiliki mereka hasil Ahli Parlimen UMNO yang lompat ini,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Menurut beliau, jika perkara ini berlaku, Ahli Parlimen UMNO yang melompat parti bukan sahaja dianggap sebagai pembelot kepada pengundi di kawasan mereka, malah kepada agama Islam dan orang Melayu keseluruhannya.

Oleh itu, beliau berharap 37 orang Ahli Parlimen yang masih kekal bersama UMNO tidak membuat keputusan yang membangkitkan kemarahan rakyat dan menguntungkan musuh agama dan bangsa.

“Nasihat saya kepada rakan yang dah melompat keluar UMNO supaya kembali ke pangkal jalan dan masih tidak terlambat untuk anda membetulkan keadaan dan kembali menyatukan hati kita demi perjuangan yang telah lama kita bersama. Kami sentiasa terbuka untuk bersama selagi ianya sebuah perjuangan untuk rakyat dan agama bangsa,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×