MADRID 5 Dis. – Kedudukan kelima Lionel Messi dalam anugerah Ballon d’Or tahun ini tidak masuk akal, kata jurulatih Barcelona, Ernesto Valverde.
Beliau yang mengecam keputusan bagaimanapun tetap menerima dan akur dengan pemilihan pemain tengah Croatia serta Real Madrid, Luka Modric sebagai pemenang.
“Saya tidak mahu memperkatakan tentang kriteria pemilihan yang tidak konsisten anugerah tersebut. Kami bagaimanapun mengucapkan tahniah kepada Modric kerana memenangi Ballon d’Or kali ini.
“Tetapi melihat keputusan Messi yang menduduki tempat kelima, ia memang tidak masuk akal,” kata Valverde mengenai nasib yang menimpa penyerangnya itu yang membantu Barcelona muncul juara liga dan Piala Raja Sepanyol musim lalu.
Messi yang juga pemenang Ballon d’Or lima kali, terpaksa menerima hakikat pencapaian Modric lebih baik daripadanya.
Modric membantu Real Madrid merangkul trofi Liga Juara-Juara musim lalu, selain membawa Croatia muncul naib juara Piala Dunia 2018.
Dia juga terpilih sebagai pemain terbaik perlawanan akhir Piala Dunia di Rusia. – REUTERS










