PEMERGIAN Muhammad Adib Mohd Kassim ke kuil Kuil Maha Mariamman, Seafield di USJ 25 pada malam 26 November lalu bukan untuk mencetuskan rusuhan. Arwah ke sana bersama pasukannya adalah demi tugas sebagai seorang anggota Bomba dan Penyelamat untuk memadam kebakaran yang dicetuskan oleh perusuh.
Muhammad Adib bukannya pergi bersendirian. Arwah bukannya ke sana menggunakan kenderaan sendiri, tetapi dengan menaiki kereta bomba yang siap bersiren. Itu menandakan kehadiran mereka adalah untuk menjaga ketenteraman awam, untuk mengawal kebakaran dan untuk memastikan tidak ada perkara tidak diingini berlaku ekoran kebakaran yang dicetuskan oleh kumpulan perusuh itu.
Berusia 24 tahun, Allahyarham datang dari Kampung Tebengau, Kuala Kedah menyertai pasukan Bomba dan Penyelamat adalah untuk berbakti kepada keluarga, masyarakat dan negara.
Namun niat baik arwah dan rakan-rakan ke kuil di Seafield pada malam itu mengundang petaka apabila arwah dan rakan-rakan diserang oleh kumpulan perusuh hingga mengalami kecederaan parah.
Hampir semua rakyat Malaysia tertanya-tanya apa salah anggota bomba terbabit hingga diperlakukan sedemikian teruk oleh kumpulan perusuh tersebut?
Kenapa pasukan bomba yang ke sana untuk mamadamkan kebakaran demi menjaga keselamatan orang ramai diperlakukan seperti penjenayah atau pengganas? Mereka bukan pencetus rusuhan. Mereka hanya mahu memadamkan kebakaran.
Bayangkan sengsara yang ditanggung oleh seorang anggota bomba yang ditarik keluar dari kenderaan lalu dipukul bertubi-tubi hingga cedera parah. Arwah dipukul bertubi-tubi hingga organ dalamannya rosak.

Selama tiga minggu arwah menanggung derita dan bertarung nyawa hanya terbaring menerima rawatan di katil hospital tanpa mampu mengucapkan sepatah apa pun apatah. Apatah lagi untuk menjelaskan apa sebenarnya yang berlaku ke atas dirinya pada malam itu.
Lebih menyedihkan, ketika mangsa terbaring bertarung nyawa antara hidup mati ada pula pihak yang tampil membuat pengakuan atau mungkin juga membuat cerita yang kononnya arwah bukannya dipukul, tetapi dilanggar oleh kenderaan bomba ketika mereka berundur ekoran diasak oleh kumpulan perusuh pada malam itu.
Tanpa ada rasa kesal atau simpati pihak yang tampil itu siap menunjukkan `bukti’ kononnya arwah benar-benar dilanggar oleh kenderaan bomba. Apa motif mereka berbuat demikian? Adakah untuk menyembunyikan kebenaran?
Tetapi realitinya arwah memang telah dibelasah tanpa belas kasihan dalam keadaan beruniform Bomba hanya kerana ke kawasan kuil itu untuk memadamkan kebakaran.
Tidak ada siapa boleh menjelaskan motif arwah ditarik keluar dari kenderaan dan dibelasah hingga separuh nyawa. Yang pasti ketika arwah sedang bertarung nyawa di unit rawatan rapi Institut Jantung Negara (IJN), suspek yang disyaki terbabit memukul arwah telah dibebaskan dengan bon mahkamah dan jaminan polis.
Sedih apabila memikirkan pada saat dan ketika ini arwah sepatutnya pulang ke kampung halaman bagi melakukan persiapan menyambut hari perkahwinannya bersama Nurul Najihah Mohd Radzi yang akan dilangsungkan pada 22 Disember ini.

Namun hari ini ketika kad undangan perkahwinan sudah diedarkan kepada saudara mara dan sahabat handai, hanya jenazah allahyarham yang pulang.
Hujung minggu ini yang sepatutnya menjadi hari bahagia untuk keluarga allahyarham bertukar menjadi hari yang paling menyedihkan yang tidak mungkin akan dapat dilupakan dalam kehidupan mereka kerana kehilangan insan yang tersayang.
Kehilangan dan kesedihan ini tidak mampu digantikan dengan wang ringgit. Malah jika mereka yang bertanggungjawab membelasah Muhammad Adib ini dapat dikenal pasti dan dihukum sekalipun, ia tetap tidak mampu mengembalikan kegembiraan dan kebahagiaan untuk ahli keluarganya, terutama ibu dan bapa serta tunang yang sepatutnya pada tika dan saat ini meniti hari-hari bahagia untuk bergelar isteri kepada lelaki yang dicintainya.
Paling menyedihkan, Muhammad Adib menjadi satu-satunya korban rusuhan antara dua kumpulan ekoran perebutan tanah di kuil Maha Mariamman itu. Muhammad Adib yang tidak ada kena mengena dengan apa yang berlaku itu, yang tidak bersalah apa, yang datang ke sana untuk menunaikan tanggungjawabnya ke masyarakat telah menjadi korban tunggal ekoran rusuhan dua puak yang bertelagah.
Sebaliknya, puak-puak yang bersalah mencetuskan rusuhan di kuil itu lepas bebas dan mungkin ketika Muhammad Adib menghembuskan nafasnya yang terakhir, para pembunuhnya pula sedang bersuka ria menikmati kehidupan bebas mereka.
Oleh itu, pihak berkuasa perlu memastikan Muhammad Adib tidak terkorban sia-sia dan para pembunuhnya perlu dikenal pasti dan diheret ke muka pengadilan.
Mereka yang bertanggungjawab perlu segera diheret ke muka pengadilan demi kedaulatan undang-undang di negara ini. Jangan biarkan kes Muhammad Adib ini lenyap ditelan masa tanpa ada pihak yang menerima hukuman atau pembalasan.
Walaupun hukuman itu tidak akan mampu mengembalikan arwah, tidak akan mampu mengembalikan allahyarham ke pangkuan keluarganya, tetapi sekurang-kurangnya ia dapat memberi pengajaran kepada setiap rakyat Malaysia tanpa mengira kaum bahawa negara ini mempunyai undang-undang, dan rusuhan yang meragut nyawa individu tidak berdosa bukan cara untuk menyelesaikan masalah.
Semoga roh Muhammad Adib ditempatkan dalam kalangan pada syuhada, pada solihin dan bersama-sama dengan orang yang beriman. Al-Fatihah










