Keadaan bayi dibuang di masjid stabil - Utusan Malaysia

Keadaan bayi dibuang di masjid stabil

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG – Seorang bayi lelaki yang dibuang di tempat wuduk Masjid Chiku 1 di sini semalam dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Gua Musang, Hizani Ibrahim berkata, bayi yang sedang dirawat di Hospital Kuala Krai itu masih belum diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk tindakan selanjutnya.

Katanya, sehingga kini siasatan masih dijalankan oleh pihak polis untuk menjejaki mereka yang bertanggungjawab membuang bayi berkenaan.

“Keadaan bayi tersebut sihat dan selamat. Kita akan mengambil alih menjaga bayi berkenaan apabila rawatan oleh pihak hospital selesai.

“Kita juga akan menghantarnya di Rumah Kanak-Kanak JKM di Kota Bharu,” katanya.

Seorang bayi lelaki cukup sifat dipercayai baru dilahirkan ditemui di dalam beg plastik di Masjid Felda Chiku 1, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintenden Mohd. Taufik Maidin berkata, bayi itu ditemui pada pukul 6.45 petang oleh penduduk Rancangan Tanah Felda Chiku 1 di kawasan tempat wuduk.

Katanya, ketika ingin mengambil wuduk, saksi terlihat plastik hijau bergerak dan terkejut melihat di dalamnya terdapat seorang bayi.

“Penduduk yang terkejut itu kemudian membawa masuk bayi ke dalam masjid.

“Bayi itu dibawa ke Klinik Chiku 1 sebelum di rujuk ke Hospital Kuala Krai bagi mendapat rawatan lanjut,” katanya.

Tambahnya, pihaknya tidak menolak kemungkinan bayi itu baru ditinggalkan kerana tidak menangis ketika ditemui. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN