PASIR MAS 16 Dis. – Beberapa kampung di sekitar Meranti dan Gelang Mas, di sini mula ditenggelami banjir ekoran limpahan air Sungai Golok sejak semalam.
Antara kampung terlibat ialah Kampung Bakong, Kampung Siram dan Kampung Kubang Pak Itam di Meranti serta Kampung Kolam dan Kampung Kaloi di Gelang Mas.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati Kampung Kolam paling teruk terjejas apabila ditenggelami air antara 0.5 hingga 1 meter dan penduduk mula memindahkan kenderaan ke tempat lebih selamat.
Sementara itu di Rantau Panjang, antara kawasan dilanda banjir ialah Kampung Jeram Perdah, Kampung Lancang, Kampung Bongo, Kampung Kelawar, Kampung Jejawi, Kampung Teresan dan Kampung Putat Tujuh.
Walau bagaimanapun, urusan harian penduduk tidak terjejas dan semua premis perniagaan di pekan Rantau Panjang masih beroperasi seperti biasa. Semua laluan utama ke pekan tersebut juga masih selamat dilalui oleh kenderaan ringan.
Menurut laman sesawang infobanjir.water.gov.my, air Sungai Golok sudah mencecah 8.84 meter, menghampiri paras bahaya 9 meter. Sungai-sungai utama lain di seluruh negeri ini pula didapati semakin surut dan kembali ke paras normal.
Setakat pukul 7 petang ini, tiada pusat pemindahan banjir (PPS) dibuka di negeri ini untuk menempatkan mangsa banjir.
Sementara itu, seorang penduduk di Meranti, Ismail Teh, 64, berkata air sungai melimpah masuk ke kawasan kediamannya sejak semalam.
Katanya, dia sentiasa peka dengan paras air Sungai Golok menerusi laporan berita di radio dan televisyen bagi mendapatkan perkembangan terkini.
“Jika paras air Sungai Golok berada di tahap bahaya saya dan seluruh keluarga akan bersiap sedia untuk berpindah,” katanya.










