JOHOR BAHRU 15 Dis. – Enam lelaki termasuk dua rakyat China melecur di bahagian muka, tangan dan kaki selepas sebuah kapal malim meletup di kedudukan 5 batu nautika barat daya Pulau Sialu dekat Batu Pahat semalam.
Pengarah Zon Maritim Batu Pahat, Komander Maritim Mohamad Othman berkata, dalam kejadian pukul 6 petang itu, semua mereka berusia antara 29 hingga 48 tahun cedera semasa menjalankan kerja pemindahan barang.
Menurutnya, siasatan awal mendapati, kapal malim yang membekalkan keperluan logistik kepada kapal tangki yang berlabuh, dipercayai meletup semasa merapat dengan sebuah kapal tangki Gas Infinity.
“Ekoran kejadian letupan itu, empat kru kapal malim dan dua kru kapal tangki mengalami kecederaan semasa sedang menjalankan kerja-kerja pemindahan barang,” katanya dalam satu kenyataan di sini sebentar tadi.
Beliau berkata, seramai lima anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Batu Pahat dikejarkan ke tempat kejadian sejurus menerima laporan berhubung insiden itu.
Tambahnya, sejurus tiba, pihaknya mendapati terdapat kesan letupan pada kapal malim yang berada dalam keadaan bertambat pada sebelah kapal tangki Gas Infinity.
“Kesemua mangsa dibawa ke jeti Zon Maritim Batu Pahat dan dikejarkan ke Hospital Sultanah Nora Ismail, Batu Pahat untuk mendapatkan rawatan lanjut.
“Punca kejadian masih dalam siasatan oleh Zon Maritim Batu Pahat,” katanya. – UTUSAN ONLINE










