SHAH ALAM 17 Dis.- Seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun maut dalam kebakaran bilik tidur di sebuah banglo dua tingkat di Seksyen 12, di sini malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 9 malam itu, Daaniys Humaira Mohd. Shafie meninggal dunia dalam perjalanan ke Hospital Shah Alam selepas dipercayai terhidu asap berlebihan dan melecur.
Turut cedera dan melecur teruk dalam kebakaran tersebut ialah bapa kanak-kanak terbabit iaitu Mohd. Shafie Mohd. Salih, 30-an dan adiknya,
Eiman Haider berusia setahun.
Bagaimanapun, ibu mangsa, Yusmaliza Mohamad Yusoff, 31, tidak mengalami kecederaan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Shah Alam, Azmel Kamaruddin berkata, pihaknya menerima panggilan kira-kira pukul 9.17 malam dan sebanyak 22 anggota beserta jentera telah bergegas ke lokasi kejadian.
“Ketika pasukan keselamatan tiba di lokasi kejadian, kesemua empat beranak ini berjaya dibawa keluar oleh orang awam. Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia sewaktu dalam perjalanan ke hospital.
“Berdasarkan siasatan awal, kebakaran dipercayai bermula dari sudut bacaan di dalam rumah berkenaan yang terletak bersebelahan bilik tidur utama.
“Asap daripada sudut bacaan kemudiannya merebak ke dalam bilik tidur. Namun, kita masih menyiasat punca sebenar kejadian dan jumlah kerugian,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE










