MELAKA – Seorang jurujual wanita mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menyembunyikan kelahiran janin bayi lelakinya berusia enam bulan dengan cara menanamnya di tepi rumah, pada bulan lalu.
Tertuduh, Siti Nur Amirah Abdullah Amiran, 25, membuat pengakuan itu sebaik sahaja pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Lee Kim Keat.
Mengikut pertuduhan, tertuduh, didakwa telah menyembunyikan kelahiran janin bayi lelaki berusia enam bulan dengan cara menanamnya di tepi sebuah rumah di Kampung Padang di sini kira-kira pukul 4 petang pada 19 November lalu.
Sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara maksimum dua tahun atau sebat atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan.
Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Intan Lyiana Zainal Abidin mencadangkan jaminan sebanyak RM8, 000 dengan seorang penjamin.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam bagaimanapun, merayu jaminan rendah diberikan dengan alasan dia hanya bekerja sebagai jurujual dan menanggung kesemua empat orang anaknya yang masih kecil, manakala suaminya tidak bekerja.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM1,800 dengan seorang penjamin dan menetapkan 15 Februari depan sebagai sebutan semula kes. – K! ONLINE










