KUALA LUMPUR 15 Dis. – Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) akan melanjutkan jualan tiket perjalanan bagi Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) sehingga 31 Januari tahun depan, menggunakan waktu jadual sedia ada.
KTMB dalam satu kenyataan di sini hari ini berkata, lanjutan tarikh jualan tiket itu berikutan kerja projek menaik taraf infrastruktur dan Sistem Landasan Berkembar Lembah Klang (KVDT) yang masih dalam fasa pelaksanaan.
“Perkhidmatan ETS masih mengekalkan jumlah perkhidmatan yang sama iaitu sebanyak 36 perjalanan sehari sementara tiket perjalanan bagi tarikh 1 hingga 31 Januari akan mula dibuka untuk jualan pada 17 Disember, pukul 8.30 pagi,” kata kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu, lanjutan penjualan tiket dilakukan memandangkan landasan ETS berada di bawah projek KVDT dan apabila kerja-kerja naik taraf dijalankan, kekerapan tren dan jadual tren akan terjejas dan ia tidak dapat dielakkan.
“Perlu dijelaskan bahawa tren KTMB bukan saja melibatkan ETS tetapi meliputi komuter, Skypark dan kargo di mana semua perkhidmatan ini berjalan di atas trek yang sama. Jika ada laluan yang mempunyai satu landasan, mereka perlu mengambil giliran untuk lalu,” katanya.
Maklumat lanjut dan jadual perkhidmatan ETS boleh dirujuk di laman web rasmi KTMB di www.ktmb.com.my atau hubungi pusat panggilan KTMB di talian 03-2267 1200. – UTUSAN ONLINE










