PUTRAJAYA – Jenazah bekas Menteri Penerangan, Tan Sri Zainuddin Maidin dibawa pulang ke kediamannya di Presint 10 di sini selepas dimandi dan dikafankan di Hospital Serdang.
Jenazah tiba pada kira-kira pukul 10.40 malam diiringi anggota keluarga dan disambut jiran tetangga dan sahabat handai.
Menurut anak bongsunya, Zaidan, 38, jenazah Allahyarham akan dibawa ke Surau At-Tarbiah, Jalan I1, Taman Melawati, Kuala Lumpur esok pagi untuk disembahyangkan.
“Jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Klang Gate, Kuala Lumpur,” katanya ketika ditemui pemberita di kediaman itu.
Zainuddin, 79, meninggal dunia di Hospital Serdang kira-kira 6.40 petang hari ini kerana serangan jantung.
Zainuddin yang lebih dikenali dengan nama Zam, dirawat di Hospital Putrajaya sejak 12 November dan ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital berkenaan setelah dikesan paru-parunya berair sebelum dipindahkan ke Hospital Serdang. – Bernama










