KUALA LUMPUR 17 Dis. – Peletakan jawatan Nurul Izzah Anwar dalam PKR boleh dijadikan pengajaran kepada Ahli-ahli Parlimen UMNO bahawa tidak semestinya Pakatan Harapan (PH) mampu menjamin karier politik yang lebih baik jika mereka melompat parti.
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menasihati Ahli-ahli Parlimen UMNO supaya jangan terburu-buru melompat parti kerana berlaku juga pergolakan dalam parti lawan, yang dipercayai merujuk kepada keputusan Nurul Izzah melepaskan jawatan Naib Presiden PKR.
“Kita jangan terburu-buru ambil jalan untuk lompat parti. Kita tidak tahu di sebelah sana macam mana lagi. Kita tengok sehari dua ini, sebelah sana pun ada yang letak jawatan.
“Boleh jadi di sana pun, mungkin hala tuju dan keadaan parti, pergolakan boleh berlaku. Bagi saya kita (UMNO) mesti ada disiplin parti, kalau hendak buat apa-apa biarlah melalui struktur kepemimpinan parti,” katanya dalam program bual bicara yang disiarkan secara langsung dalam laman Facebook Nothing To Hide, malam ini.
Ketua UMNO Bahagian Batu Pahat, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi menjadi moderator program tersebut.
Kata Najib lagi, Ahli-ahli Parlimen UMNO seharusnya memegang prinsip yang tinggi dengan menghormati parti yang telah membantu mereka dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), terutamanya ahli-ahli akar umbi dan jentera UMNO yang bersusah payah memenangkan calon.
Mengenai desakan segelintir pemimpin UMNO supaya Presiden parti, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi bercuti atau meletakkan jawatan, Najib merasakan perkara itu sewajarnya ditangani menggunakan proses yang disediakan termasuk secara bermesyuarat yang dilihat lebih menguntungkan parti.
Dalam program itu juga, Najib mengakui beliau tertekan berdepan proses pendakwaan dan birokrasi yang dihadapinya berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), namun redha dengan nasib yang dialami dan mengharapkan pembelaan yang adil dapat diberikan dalam mencari kebenaran. – UTUSAN ONLINE










