KUALA LUMPUR 3 Dis.- Agak di luar dugaan, keputusan pemilihan exco Majlis Peguam bagi penggal 2019/2020 yang berlangsung hujung minggu lalu cukup menarik minat ramai rakyat Malaysia.
Bukan sahaja kerana Siti Kassim turut mencuba nasib, tetapi Majlis Peguam sendiri bukanlah seperti badan profesional lain kerana badan itu sering mengeluarkan pandangan dalam isu berkepentingan umum yang ada kalanya turut menaikkan suhu politik semasa.
Sebab itu, Majlis Peguam tidak terlepas daripada kritikan umum kerana ‘suara’ mereka dalam banyak perkara seperti sebuah sayap parti politik tertentu. Bersuara secara terpilih, senyap dalam isu tertentu.
Lantas, keadaan ini meresahkan sebahagian besar ahlinya yang berjumlah 19,000. Maklumlah bukan semua pengamal undang-undang setuju dengan semua kenyataan pemimpin tertinggi Majlis Peguam.
Jika sebelum ini berkaitan isu perundangan syarie, terbaharu pula, kenyataan Majlis Peguam yang menyifatkan Konvensyen Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) sebagai tidak bertentangan Perlembagaan Persekutuan.
Banyak peguam geleng kepala tidak bersetuju apabila melihat kenyataan itu dikeluarkan. Justeru apa yang boleh diharapkan daripada perubahan barisan kepemimpinan Majlis Peguam ini?
Ketika diajukan soalan ini kepada Presiden Persatuan Peguam Muslim Malaysia, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar, beliau memberi gambaran inilah badan peguam yang akan mempertahankan Perlembagaan Persekutuan.
Semua ini, kata beliau, adalah hasil daripada kesedaran khususnya orang Islam dan Melayu. Selain mempertahankan Perlembagaan, Majlis Peguam juga kata Zainul Rijal diharap “tidak membuat tindakan atau suara yang bertentangan dengan kepentingan orang Melayu Islam dan agama negara itu sendiri,”.
Beliau yang berada di luar negara ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam, mengakhiri perbualan dengan menegaskan:
“Saya mahukan badan peguam betul-betul menegakkan Rule of Law iaitu kedaulatan undang-undang, tidak memihak atau non partisan dan mempertahankan Perlembagaan,” kata peguam yang berpengalaman luas dalam perundangan sivil dan syariah. – UTUSAN ONLINE










