TOKOH falsafah Barat, Plato dalam karyanya, Republic mendambakan raja falsafah (philosopher-king) iaitu seorang pemimpin yang menghayati sifat-sifat utama (cardinal virtues) hikmah, kawalan diri, berani, dan adil. Masyarakat yang melahirkan pemimpin sedemikian tidak memerlukan mekanisme sistem demokrasi bagi menangani salah guna kuasa secara terang-terangan oleh ahli-ahli politik yang memangsakan golongan awam.
Hakikatnya, pemimpin adalah cerminan kepada rakyat. Dalam sepotong hadis yang diriwayatkan oleh al-Daylami dan al-Bayhaqi, Rasulullah SAW bersabda, “Sebagaimana kamu, begitulah dijadikan yang memimpin kamu (kama takunu yuwalla ‘alaykum).” Baginda juga bersabda, “Setiap kamu adalah gembala (ra‘in) dan setiap gembala dipertanggungjawabkan dengan gembalaannya (ra‘iyyatihi)” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Perkataan Arab ra‘iyyah yang menerbitkan perkataan Melayu ‘rakyat’, berkongsi akar dengan ra‘in, yang juga bermaksud ‘pembimbing’, ‘penjaga’, dan ‘pelindung’. Dalam pandangan alam Islam, kedua-dua pemimpin dan yang dipimpin membentuk kesatuan sebagaimana suatu susuk badan.
Rasulullah SAW juga pernah bersabda, “Akan ada para pemimpin ke atas kamu yang kamu ketahui dan tidak ketahui. Mereka akan menyeleweng, namun Allah akan mengadakan banyak kebaikan melalui mereka. Sekiranya mereka berbuat baik, mereka akan diberi ganjaran dan wajib ke atas kamu untuk bersyukur; sedangkan jika mereka berbuat jahat, mereka menanggung kesalahan dan wajib ke atas kamu untuk bersabar.”
Imam al-Ghazali dalam karyanya Ihya’ ‘ulum al-din, (Menghidupkan Ilmu-ilmu Agama) menggariskan peranan sultan sebagai pemimpin yang menegakkan agama. Oleh itu ia tidak sewajarnya diperkecil, dicemuh, atau diperkotak-katikkan.
Berdirinya Kesultanan Melayu adalah mengikut acuan kerajaan-kerajaan Islam di pusat peradaban Islam berdasarkan model negara kota Madinah yang pernah didirikan oleh Rasulullah SAW. Ini tercermin dalam hukum-hakam dan perundangan negeri-negeri dalam Persekutuan Malaysia yang berperanan dalam pembentukan undang-undang tertingginya iaitu Perlembagaan Persekutuan, selain kedudukan istimewa dan peruntukan-peruntukan yang diberikan kepada Islam.
Walaupun zaman penjajahan bertanggungjawab memodenkan cara gaya negara ditadbir, ia tidak memansuhkan kesultanan sedia ada. Dari satu sisi, penjajahan dilihat sebagai telah mengganggu gugat pemerintahan mutlak oleh para raja dan sultan.
Walau bagaimanapun, contoh amalan di negeri-negeri Melayu membuktikan bahawa (i) terdapat kedaulatan Shariah dalam pelaksanaan undang-undang negeri; dan (ii) pemerintahan sultan adalah bukan secara pemerintahan mutlak bahkan dibimbing oleh ahl al-hall wa’l-‘aqd yakni ‘segolongan ilmuwan dan pemimpin yang mewakili masyarakat.’
Dalam tempoh residen-residen British melaksanakan peranan eksekutif, para sultan dan raja diberikan peranan menasihati hal ehwal agama dan adat istiadat orang Melayu. Peremehan peranan shura dan ahl al-hall wa’l-‘aqd telah meninggalkan kesan yang berkekalan. Maka, tidak hairanlah peranan ulama sebagai penasihat kepada raja-raja kurang diberikan penekanan.
Walaupun ideal raja falsafah sukar digapai, masyarakat bernasib baik kerana dirahmati dengan sistem unik yang menggabungkan raja berperlembagaan dengan demokrasi berparlimen; inilah masanya golongan pemerintah bekerjasama erat dengan golongan yang diperintah demi kebaikan dan manfaat bersama-sama.
Walaupun raja-raja tiada mencampuri urusan politik, keterikatan terhadap protokol diraja tidak seharusnya menafikan hakikat bahawa Allah ‘azza wa jalla ialah Pemilik Kekuasaan yang meletakkan seseorang raja atau sultan di takhta iaitu kedudukan terbaik di mana baginda menitahkan rakyat jelata supaya mereka memilih pentadbir terbaik bagi menguruskan hal ehwal mereka.
Untuk renungan bersama, tulisan ini diakhiri dengan ungkapan oleh seorang penyair dan penulis berbangsa Moor yang terkenal dengan karyanya al-‘Iqd al-Farid (Untaian yang Tiada Bertara), Ibn ‘Abd Rabbih (860–940 Masihi).
“Raja adalah pemegang kuasa, pengawal atur hak dan tuntutan, tulang belakang yang mendukung hukum Tuhan, dan paksi yang padanya berputar segala urusan agama dan dunia. Baginda adalah perlindungan Allah di wilayahnya, dan bayangan Tuhan yang meliputi rakyatnya; melaluinya baginda menegah yang haram, menolong yang tertindas, menggagahi yang zalim, dan melindungi yang lemah.”
PENULIS ialah Pegawai Penyelidik Kanan di Pusat Kajian Sains dan Alam Sekitar, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).










