Hotel Kings Green pertama jayakan program `Value Food No Waste, Lets 3R' di Melaka - Utusan Malaysia

Hotel Kings Green pertama jayakan program `Value Food No Waste, Lets 3R’ di Melaka

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA 18 Dis. – Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Melaka hari ini menjalinkan kerjasama dengan Hotel Kings Green untuk menjayakan program `Value Food No Waste, Lets 3R’ sebagai kempen mendidik masyarakat untuk menghargai makanan serta tidak membazir.

SHARUDIN HAMID
SHARUDIN HAMID 

Program yang pertama kali melibatkan penyertaan hotel itu bertujuan menggalakkan pelanggan menghargai setiap makanan yang disediakan sepanjang menginap di hotel dengan hanya mengambil makanan mengikut keperluan.

Pengarah SWCorp Melaka, Sharudin Hamid berkata, menerusi program itu pihaknya dengan kerjasama hotel terlibat akan memberi fokus kepada makanan bufet yang belum disentuh dan masih baik untuk dimakan.

“Dianggarkan lebihan makanan yang dibuang di tapak pelupusan sampah di negeri ini adalah melibatkan 40 hingga 45 peratus sisa makanan dan hotel adalah antara penyumbang terbesar kepada pembuangan sisa makanan.

“Untuk itu menerusi program ini, SWCorp dengan kerjasama hotel akan mengumpul lebihan makanan yang belum diusik dan masih boleh digunakan untuk dibungkus semula dan didermakan kepada rumah orang tua dan penduduk kurang berkemampuan yang memerlukan makanan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas majlis perasmian program `Value Food No Waste, Lets 3R’ oleh Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Tey Kok Kiew di Hotel Kings Green di Jalan Tun Perak di sini sebentar tadi.

Yang turut hadir, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif SWCorp, Mohammad Diah Wahari dan Pengurus hotel, Thomas Pillai.

Sepanjang tempoh pelaksanaan program itu di Hotel Kings Green sejak sebulan lalu, mereka berjaya mengumpul sebanyak 882 kilogram barangan kitar semula dengan hasil jualan berjumlah RM290. Selain itu, sejumlah 170 kilogram minyak masak terpakai juga berjaya dikumpul dengan hasil jualan sebanyak RM255. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN