KUALA LUMPUR 17 Dis. – Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin percaya keputusan yang diambil oleh Nurul Izzah Anwar untuk meletakkan jawatan dalam parti telah difikirkan secara mendalam daripada pelbagai aspek.
Zuraida yang mengumpul undi kedua terbanyak di belakang Nurul Izzah dalam saingan jawatan Naib Presiden parti, mahu keputusan anak sulung Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu dihormati.
“Jika kita menghormati keputusan beliau untuk bertanding sebagai Naib Presiden PKR di dalam pemilihan parti yang lepas, kini keputusan beliau untuk melepaskan jawatan tersebut juga perlu dihormati oleh seluruh kepimpinan dan ahli-ahli parti,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Nurul Izzah hari ini mengumumkan peletakan jawatan Naib Presiden PKR dan melepaskan jawatan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Pulau Pinang.
Zuraida pada masa sama berharap isu itu selanjutnya haruslah berpandukan kepada kepemimpinan Presiden parti.
Pemilihan PKR yang diadakan dari September hingga November lalu menyaksikan Nurul Izzah mengumpul undi terbanyak bagi jawatan Naib Presiden sebanyak 67,050 undi, manakala Zuraida menerima 52,226 undi, diikuti Dr. A. Xavier Jayakumar sebanyak 47,566 undi dan Tian Chua dengan 42,608 undi. – UTUSAN ONLINE










