Himpunan ICERD: Jangan terpedaya dakyah anasir luar - Utusan Malaysia

Himpunan ICERD: Jangan terpedaya dakyah anasir luar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 3 Dis. – Himpunan aman meraikan kejayaan menolak ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Me­ngenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) disifatkan sebagai suatu perhimpunan seluruh rakyat yang berpegang teguh kepada kedaulatan Perlembagaan Persekutuan.

Walaupun sudah berkali-kali ramai tokoh pemimpin menyatakan perhimpunan yang akan diadakan Sabtu ini hanyalah untuk menunjukkan solidariti dan tanda kesyukuran, namun terdapat segelintir pihak cuba menangguk di air keruh apabila mengaitkannya dengan sentimen perkauman. 

Atas dasar itulah, Sekretariat Kedaulatan Negara (Daulat) yang ditubuhkan khas dan dipertanggungjawabkan untuk mengawal selia perhimpunan berkenaan mahu orang ramai mendapat gambaran tepat serta jelas mengenai hala tuju himpunan aman itu. 

Sehubungan itu, Koordinator Media Daulat, Jamalee Bashah meminta orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dengan cubaan anasir yang menyemai sentimen buruk sekali gus boleh merencatkan keamanan perhimpunan. 

Jelas beliau, sebagai sekretariat yang berperanan sebagai koordinator himpunan, pihaknya berperanan untuk mengeluarkan maklumat sahih mengenai perhimpunan tersebut untuk diteliti orang ramai. 

“Orang ramai boleh mengikuti akaun rasmi Sekretariat Kedaulatan Negara dalam laman sosial Facebook atau akaun Gerakan Pembela Ummah (Ummah) untuk mendapatkan maklumat yang sahih mengenai perhimpunan Sabtu ini. 

“Hal ini kerana kita tidak mahu orang ramai tersalah tafsir mengenai himpunan ini kerana terdapat ramai pihak cuba mengambil peluang dengan memburuk-burukkan himpunan sedangkan kita hanya akan berhimpun secara aman,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN