Himpunan bantah ICERD bukan protes terhadap kerajaan - Utusan Malaysia

Himpunan bantah ICERD bukan protes terhadap kerajaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON 9 Dis. – Himpunan membantah ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD), #DaulatHimpunan812 semalam bukan protes rakyat terhadap kerajaan Pakatan Harapan.

Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir berkata, kerajaan tidak tergugat dengan himpunan itu kerana telah membuat keputusan untuk membatalkan ratifikasi berkenaan. 

“Pada anggaran pihak kami, lebih 100,000 orang menghampiri himpunan itu. Tetapi ia bukan bantahan kepada kerajaan kerana pendirian kerajaan adalah sama.

“Ia telah diumumkan oleh Perdana Menteri sebelum ini dan begitu juga di peringkat negeri yang menolak ICERD,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Konvensyen Bersatu Negeri Sembilan di sini hari ini.

Yang turut hadir Pengerusi Pakatan Harapan negeri, Aminuddin Harun dan Ketua Badan Pimpinan Bersatu negeri, Tan Sri Dr. Rais Yatim. 

Terdahulu, dalam ucapannya, Mukhriz menyifatkan peserta himpunan di ibu negara itu dikelirukan oleh pembangkang sedangkan ICERD tidak menjadi masalah dan ancaman besar kepada orang Melayu. 

Jelasnya, ratifikasi itu sukar dilaksanakan kerana memerlukan pindaan Perlembagaan dan persetujuan dua pertiga ahli Parlimen. 

“Yang sepatutnya dibantah ialah kes dan skandal yang mencemar nama negara seperti 1MDB. Sepatutnya yang dibantah ialah kes rasuah, pihak yang merompak harta rakyat dan mereka yang bebankan rakyat dengan hutang negara mencecah trilion ringgit. 

“Di mana pejuang Melayu apabila Felda disamun. Perkara ini yang sepatutnya disanggah oleh semua pihak termasuk yang bergelar pejuang Melayu dan para jihad Islam yang berserban dan berkopiah, tetapi sebaliknya berlaku,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN