Harimau Malaya kalah melawan - Utusan Malaysia

Harimau Malaya kalah melawan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HANOI 15 Dis. – Harimau Malaya sudah memberikan segala-galanya yang terdaya, namun usaha keras mereka gagal menghadiahkan Piala AFF buat Malaysia apabila tumpas 0-1 kepada Vietnam dalam perlawanan akhir di Hanoi, hari ini.

Jaringan pantas Nguyen Anh Duc seawal minit keenam cukup untuk mengesahkan kejuaraan buat skuad Naga Emas, yang menumpaskan Malaysia menerusi agregat 3-2 selepas seri 2-2 dalam final pertama di Bukit Jalil, Selasa lalu.

Ini kejuaraan kedua diraih Vietnam selepas kali terakhir mendakap trofi pada 2008, malah membolehkan mereka melebarkan rekod pertemuan ke atas Malaysia kepada 11 kemenangan daripada 21 perlawanan.

Bagi Malaysia, kekalahan ini memanjangkan lagi penantian lapan tahun untuk bergelar juara selepas kali pertama dan ter­akhir mendakap trofi pada 2010.

Biarpun disentap dengan gol pantas tuan rumah, anak-anak buah Tan Cheng Hoe berusaha bangkit dan melawan, malah mengatur serangan bertali arus menerusi Mohamadou Sumareh, Safawi Rasid, Zaquan Adha Abd. Razak serta Norshahrul Idlan Talaha.

Malangnya benteng kukuh Naga Emas yang diketuai penjaga gol sasa, Dang Van Lam menafikan hasrat Malaysia untuk mencari jaringan penyamaan.

Serangan balas pantas tuan rumah di awal permainan mengejutkan pertahanan Harimau Malaya yang membenarkan Anh Duc, 33, meledak gol pembukaan selepas menyempurnakan hantaran lintang rakan sepasukan.

Malaysia bertindak balas dengan melakukan serangan ke kubu lawan dan hampir memperoleh gol penyamaan menerusi Syahmi Safari tetapi rembatan kencangnya diselamatkan Van Lam, empat minit sebelum tamat separuh masa pertama.

Sebaik sahaja babak kedua bersambung, Malaysia lebih berkeyakinan dan berjaya mencipta beberapa peluang hasil hantaran bijak Sumareh, namun gagal dimanfaatkan rakan sepasukan.

Pada minit ke-54, Harimau Malaya membuatkan gawang Vietnam hampir dibolosi apabila sepakan percuma Safawi di luar kawasan penalti menuju tepat ke tengah gawang, namun sekali lagi dinafikan oleh kecekapan Van Lam.

Ketika perlawanan berbaki 10 minit, rentak permainan Harimau Malaya seakan sudah tidak tersusun malah pertahanan negara hampir dibolosi beberapa kali menerusi Nguyen Phong Hong Duy pada minit ke-83 yang seinci tersasar di atas palang.

Lebih malang, ketika permainan menunggu masa untuk ditamatkan, Harimau Malaya terpaksa menamatkan saingan dengan 10 pemain selepas pertahanan tengah, Shahrul Saad dibuang padang kerana menerima kad kuning kedua.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN