SEJAK seminggu lalu, penulis dimaklumkan menerusi khidmat pesanan ringkas beserta gambar dan video keadaan pelarian berhadapan dengan cuaca sejuk daripada wakil pertubuhan misi kemanusiaan, Sympathy di Cox’s Bazar.
Walaupun tidak ada salji, cuaca sejuk mencecah -10 darjah Celsius terutama pada waktu malam. Tiupan angin kuat pula menggigit sampai ke tulang terutama bagi kebanyakan kanak-kanak dan bayi yang tidak memakai pakaian sempurna mendedahkan mereka kepada bahaya pada bila-bila masa.
Berbeza ketika musim panas, kebanyakan pelarian tidak berbaju adalah perkara biasa, namun pada musim sejuk keadaannya tidak sama.
Ditambah dengan keadaan tempat tinggal mereka yang serba daif, berbumbung dan berdindingkan kanvas serta plastik, malah ada yang hanya diperbuat daripada bahan buangan selain berlantaikan tanah (fenomena biasa rumah-rumah pelarian), sangat berisiko tinggi.
Dingin mencengkam tulang
Pengalaman penulis bermalam di sebuah rumah di kem pelarian di Ukhiya, Cox’s Bazar pada Oktober 2017 dan melihat kedaifan hidup mereka membuatkan air mata gugur. Mata menyaksikan sendiri kesengsaraan sebuah keluarga pelarian yang terdiri daripada tiga warga emas, seorang remaja perempuan dan kanak-kanak berusia dua tahun.
Beralas tikar usang atas lantai tanah, mereka tidur tanpa bantal dan selimut selain memakai pakaian lusuh. Kedinginan malam mencengkam tulang sementara kehangatan mentari pada siang hari membakar kulit. Kenangan itu masih menghantui penulis hingga ke saat ini.
Dalam cuaca sejuk, tiada pilihan buat pelarian demi meneruskan kehidupan. Mereka tanpa mengira jantina dan usia terpaksa keluar mencari kayu api dan mengambil air bersih.
Begitu juga bagi mendapatkan bantuan kemanusiaan yang memaksa mereka keluar berjalan kaki sejauh antara satu hingga 15 kilometer bergantung kepada kedudukan sesebuah kem.
Sesetengah kem terletak jauh dalam hutan dan sukar dimasuki. Tidak hairanlah ramai dalam kalangan pelarian Rohingya yang jatuh sakit termasuk menghidap angin pasang (hernia) disebabkan kerja berat serta berjalan kaki dalam jarak yang jauh.
Ini fenomena luar biasa yang penulis ketahui daripada doktor di Hospital Awam Cox’s Bazar dan Hospital Lapangan milik kerajaan Malaysia.
Ibarat kapal hanyut
Hakikatnya, dalam setiap misi kemanusiaan yang kami lakukan, tidak banyak kemajuan bagi pelarian, sebaliknya keadaan bertambah teruk. Apa tidaknya, ibarat wanita mengandung sudah pun bersalin, umpama tangki najis yang dahulunya kosong tetapi kini sudah penuh, realiti hidup di kem pelarian Cox’s Bazar sangat menginsafkan.
Cox’s Bazar adalah kem pelarian terbesar dunia menempatkan pelarian Rohingya berasal dari Myanmar, yang dilucutkan kerakyatan, dizalimi dan diusir keluar dari tanah air sendiri.
Kem pelarian ibarat sebuah ‘kapal besar yang hanyut di tengah laut’ terumbang ambing dipukul ombak, dipanah mentari dan digigit suhu dingin. Makan minum mengutip rezeki terapung dengan masa depan tidak menentu lantaran isunya jauh daripada penyelesaian.
Wakil Sympathy di Rohingya, Shukor Ehsan merayu memohon bantuan daripada rakyat Malaysia berikutan keadaan mendesak pelarian di kem perlindungan terutama kanak-kanak dan warga emas.
“Kasihan tengok budak-budak kecil dan bayi, begitu juga orang tua serta orang sakit. Sekarang sangat sejuk, mereka minta tolong orang Malaysia beri selimut dan baju. Kesian mereka, saya harap orang Malaysia boleh tolong.
“Sekarang kami bakar kayu untuk panaskan badan dan rumah, kayu pula mahal sekarang, susah mahu dapat. Jadi, mereka bakar kayu dan duduk ramai-ramai, mahu jimat kayu.” Begitulah antara teks pesanan ringkas yang dihantar Shukor kepada penulis beberapa hari lalu.
Shukor boleh berbahasa Melayu kerana pernah tinggal dan bekerja di Malaysia beberapa tahun. Dia juga adalah sebahagian daripada pelarian di kem Cox’s Bazar setelah diusir dari kampung halaman bersama ibu, ayah dan adik beradiknya di Rakhine. Kami mengenali Shukor ketika menjalankan misi kemanusiaan di sini.
Enggan pulang
Cuaca panas dan sejuk semakin memeritkan dan menghantui kehidupan pelarian. Rundingan terkini antara kerajaan Myanmar dan Bangladesh berhubung isu Rohingya memutuskan untuk menghantar pulang semua pelarian kembali ke Myanmar.
Ini dijangka dilaksanakan pada awal 2019. Menurut Shukor, rata-rata pelarian menolak untuk kembali ke Myanmar meskipun mereka sebenarnya tidak sabar untuk kembali ke kampung halaman.
“Memang kami mahu balik, hidup di sini bukan senang, tetapi rundingan dibuat tanpa wakil daripada masyarakat Rohingya. Suara kami tidak diambil, jadi bagaimana kami mahu pulang. Kerajaan Myanmar tidak beri sebarang jaminan keselamatan, tidak putuskan akan bagi kewarganegaraan. Mungkin kami Rohingya akan dizalimi seperti dulu, jadi bagaimana kami mahu pulang selagi keselamatan tidak dijamin,” kata Shukor.
Begitulah keadaan terkini masyarakat Rohingya di kem Cox’s Bazar. Cuaca sejuk, panas, kemiskinan, kedaifan dan kesengsaraan adalah asam garam dalam setiap detik kehidupan mereka selagi penyelesaian total tidak diperoleh. Mereka sangat mengharapkan simpati dan pertolongan rakyat Malaysia atau terus menunggu masa untuk mati.










