LONDON 19 Dis. – Juara dunia lima kali Formula Satu (F1), Lewis Hamilton memohon maaf kepada penduduk Stevenage, kawasan di mana dia dibesarkan selepas mengaitkan tempat tinggalnya itu dengan setinggan.
Hamilton yang berasal dari Britain, negara di mana banyak melahirkan pelumba cemerlang berkata dalam televisyen tempatan BBC pada majlis Anugerah Personaliti Tahunan, Ahad lalu bahawa adalah menjadi impiannya dan keluarga untuk keluar dari kawasan setinggan.
Komen Hamilton itu dilakukan dalam satu temubual dan ia menyinggung perasaan penduduk Stevenage, sehingga mencetuskan kecaman di media sosial.
Bagaimanapun, Hamilton yang se-ring bercakap mengenai perjalanannya dari latar belakang kurang bernasib baik sehingga berada di kemuncak kariernya, memohon maaf menerusi Instagram, hari ini sambil menegaskan dia telah membuat kesilapan.
Pelumba berusia 33 tahun itu, yang juga pelumba ketiga meraih lima gelaran dunia memberitahu, dia berasa amat bangga dengan tempat asalnya di mana dia dilahir dan dibesarkan.
“Tiada seorangpun yang sempurna dan saya juga sering membuat kesilapan, terutama ketika anda berada di depan orang ramai dan cuba mencari perkataan sesuai dengan cepat bagi menggambarkan perjalanan hidup anda.
“Saya tersalah menggunakan perkataan. Kepada sesiapa yang mengenali saya, mereka tahu bahawa saya sentiasa mencintai kampung halaman saya,” ujar Hamilton.– REUTERS










