KUALA LUMPUR 14 Dis. – Perjalanan sejauh hampir 3,000 kilometer jika menggunakan laluan darat dari Kuala Lumpur ke Hanoi, Vietnam bukan penghalang tiga sahabat dari Puchong untuk bertandang ke sana demi memberi sokongan kepada skuad kebangsaan dalam penentuan kejuaraan Piala AFF, esok.
Menurut blog milosuam.net, kesemua mereka iaitu Amirul Amin, Mohd. Fitri dan Leng Chai Gulong (nama di akaun Facebook) difahamkan memilih ke Hanoi menggunakan kereta ekoran tidak mampu membayar harga tiket penerbangan terus ke negara itu kerana dirasakan mahal.
Perjalanan ke Hanoi dari Kuala Lumpur akan memakan masa lebih 40 jam, dengan mereka difahamkan mula bertolak dari Kuala Lumpur pada pukul 6 petang semalam, dan menuju Bukit Kayu Hitam, Kedah sebelum melepasi sempadan Malaysia-Thailand kira-kira pukul 11.30 malam.
Mereka kemudian berehat di Phattalung sebelum meneruskan perjalanan. Begitupun, ekoran kesuntukan masa selain perlu mendapatkan visa untuk memasuki Laos kemudian ke Vietnam, ketiga-tiganya mengambil keputusan untuk menaiki pesawat dari Bangkok, Thailand menuju ke Hanoi.
Menurut laporan itu lagi, kesemua mereka telah tiba di Prachuap Khiri Khan dan dijangka akan bermalam di hotel berdekatan Lapangan Terbang Don Mueang, Bangkok hari ini sebelum mengambil penerbangan ke Hanoi pada keesokan hari.
Dalam perkembangan berkaitan, seramai 345 ahli Ultras Malaya diterbangkan pesawat khas hari ini dan esok dengan harga istimewa ditawarkan AirAsia, manakala Petronas menanggung pembiayaan minyak pesawat.
Malaysia akan berdepan skuad Naga Emas di Stadium My Dinh di Hanoi dalam penentuan kejuaraan esok setelah terikat 2-2 di laman sendiri pada perlawanan akhir pertama Piala AFF Selasa lalu.
Seramai 1,700 penyokong Harimau Malaya bertandang ke Hanoi bagi menyaksikan perlawanan tersebut.










