KOTA BHARU 3 Dis. – Bekas kapten Perlis, Yusri Che Lah akan ke Kota Bharu dalam tempoh terdekat untuk bertemu dengan pengurusan Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) bagi membincangkan hala tuju dan masa depannya sebagai pengendali The Red Warriors (TRW) bagi musim 2019.
Yusri berkata, setakat ini beliau masih belum menandatangani kontrak bersama pasukan Kelantan untuk musim hadapan.
“Insya-Allah, dalam kunjungan ke Kota Bharu nanti, saya akan bincang soalkan kontrak bersama Kafa,” katanya ketika dihubungi Utusan Online, di sini hari ini.
Terdahulu, bekas perancang Singa Utara itu dilaporkan baru sahaja tiba di tanah air semalam selepas mengerjakan Umrah di Tanah Suci.
Kafa sebelum ini mengumumkan Yusri kekal berada dalam perancangan untuk terus membimbing TRW bagi saingan musim 2019 nanti.
Bagaimanapun, Kafa membuat kejutan apabila mengumumkan bekas pengendali Negeri Sembilan, Jorg Peter Steinebrunner sebagai pengarah teknikal TRW.
Sementara itu, Presiden Kafa Bibi Ramjani Ilias Khan ketika dihubungi berkata, pihaknya menyerahkan kepada Yusri untuk membuat keputusan.
Katanya, perkara itu akan dibincangkan sejurus Yusri pulang dari Makkah. – UTUSAN ONLINE










