LONDON 14 Dis. – Beberapa hari menjelang pertembungan tumpuan Liga Perdana Inggeris antara Liverpool dan Manchester United esok, ramai yang tertanya-tanya bagaimana taktikal bakal digunakan pengendali Red Devils, Jose Mourinho.
United biasanya cenderung menggunakan permainan bertahan dengan mengarahkan seramai mungkin pemain berkampung di kawasan sendiri iaitu taktik ‘meletak bas’.
Dihimpit isu kecederaan dan penggantungan beberapa tonggak menjelang aksi di Anfield menguatkan lagi kemungkinan Mourinho bermain berhati-hati bagi mengelak menjadi mangsa pendahulu liga.
Bekas bintang tengah Arsenal yang juga pengulas bola sepak terkenal, Paul Merson menegaskan, jika Mourinho memilih untuk bermain secara bertahan, ia sama sekali pendekatan yang tidak boleh diterima.
“Tekanan sebenarnya kepada Liverpool. Mereka belum pernah tewas musim ini dan perlu menang untuk mengekalkan pendahulu liga, jadi United patut bermain dengan lebih tenang.
“Ia pasti amat mengecewakan kalau pertembungan besar seperti ini tidak menampilkan aksi menarik.
“Menggunakan pendekatan bertahan atau meletak bas hanya jenaka abad ini,” kata Merson kepada Sky Sport.
Tegas Merson lagi, zaman ‘meletak bas’ sudah berlalu dan Mourinho tidak sepatutnya mengulangi perkara yang sering dilakukan setiap kali bertemu Liverpool, Manchester City, Tottenham, Chelsea atau Arsenal.
Begitupun legenda Liverpool, Mark Lawrenson yang juga pengulas BBC Sport percaya, bermain secara bertahan adalah strategi terbaik boleh digunakan United jika enggan menjadi mangsa.
“Melihat cara Liverpool bermain dan prestasi semasa mereka, ramai menjangkakan mereka dapat mengalahkan United di Anfield.
“United pula sering berdepan kesukaran mencatat kemenangan setiap kali bertandang ke Anfield, jadi bermain secara berhati-hati adalah pendekatan yang mungkin dipilih,” kata Lawrenson.
Trio Mohamed Salah, Roberto Firmino dan Sadio Mane akan menjadi sandaran Reds manakala Red Devils perlu berhati-hati memilih barisan pemain esok. – AGENSI










