KUALA LUMPUR 18 Dis. – Pada penghujung November lalu, berpunca daripada salah faham pihak Kuil Sri Maha Mariamman, Seafield, Subang Jaya, Selangor dengan syarikat pemaju One City Development Sdn Bhd (One City), sejumlah 10,000 orang kaum India telah berkumpul di sekitar Kuil Sri Maha Mariamman, Siefield, Subang Jaya, Selangor.
Ekoran daripada peristiwa itu, rusuhan telah berlaku dan walaupun pihak pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) hadir berkawal, tindak-tanduk perusuh berada di luar jangkaan.
Banyak harta benda musnah termasuk kereta dibakar dan pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) turun padang untuk memadamkan kebakaran tercetus.
27 November 2018
Dalam pergolakan tersebut, terdapat kumpulan perusuh didakwa turut membelasah Muhammad Adib Mohd. Kassim, 24, sehingga tidak bermaya sebelum di bawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk tujuan rawatan dan kisah tersebut menimbulkan kemarahan ramai pihak.

28 November 2018
Keesokan harinya, setelah perbincangan bersama empat pakar perubatan dibuat, Adib dipindahkan dari HKL ke Institut Jantung Negara (IJN) pada 11.33 malam.
Perbincangan itu telah dibuat oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin dan keputusan memindahkan Adib ke IJN adalah untuk memastikan mangsa diberi rawatan sewajarnya.

11 Disember 2018
Setelah beberapa hari terlantar di IJN, Adib mula menunjukkan reaksi positif. IJN juga memaklumkan Adib tidak lagi memerlukan mesin ECMO untuk membantu pernafasannya.
Selain itu, pasukan doktor di IJN juga mengalihkan mesin sokongan jantung selepas jantungnya boleh berfungsi de¬ngan sendiri pada awal bulan ini.
Berita tersebut member khabar yang cukup bermakna buat ahli keluarga Adib termasuk tunangnya, Nurul Najihah dan juga rakyat Malaysia yang mengikuti perkembangan Adib.

15 Disember 2018
Namun begitu, sinar muncul hanya seketika apabila Muhammad Adib terpaksa menggunakan semula mesin ECMO kira-kira pukul 9 malam selepas penilaian mendapati paru-parunya mula mengeras.

17 Disember 2018
Lebih memilukan, Muhammad Adib yang sepatutnya melangsungkan perkahwinan mereka pada 23 Disember ini dikhabarkan meninggal dunia pada pukul 9.41 malam.

18 Disember 2018
7.20 pagi : Jenazah mula dibawa keluar dari HKL.

7.54 pagi : Van jenazah yang membawa anggota bomba, Muhammad Adib tiba di Pangkalan Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Subang.
Jenazah Allahyarham akan dibawa ke kampung halamannya iaitu Kampung Tebengau, Kuala Kedah dengan menaiki helikopter Mi17-iv untuk proses pengkebumian.
Penerbangan memakan masa kira-kira dua jam sebelum dijadualkan mendarat di padang Sekolah Kebangsaan (SK) Tebengau, Kedah.

10.55 pagi : Jenazah anggota bomba, Allahyarham Muhammad Adib tiba di kampung halamannya di Kampung Tebengau Tepi Laut.
Lebih 500 penduduk dan saudara-mara serta sahabat-handai menyambut ketibaan Allahyarham Muhammad Adib di padang sekolah tersebut sebelum turut ke rumahnya bagi memberikan penghormatan terakhir.

1.45 petang : Cuaca redup mengiringi perjalanan terakhir wira negara, Muhammad Adib yang diselamatkan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Tebengau.
Jenazah anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS) Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, Selangor itu selamat dikebumikan selepas Zohor dan dihadiri ahli keluarga terdekat dan ribuan penduduk setempat serta kenalan-kenalan lain.
Suasana sayu menyelebungi upacara pengkebumian tersebut apabila bapa, Mohd. Kassim; Ibu, Asma Aziz serta tunang Muhammad Adib dilihat tidak dapat menahan sebak sehingga mengalirkan air mata saat menatap pusara insan kesayangan mereka itu.

Jenazah Muhammad Adib sebelum itu disembahyangkan untuk kali terakhir di Masjid Al- Saadah di sini yang terletak kira-kira 500 meter dari rumah Allahyarham.
Setelah 21 hari bertarung nyawa akibat cedera parah dipukul dalam rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November lalu, Allahyarham Muhammad Adib pergi bertemu ilahi dan diratapi seluruh negara. – UTUSAN ONLINE










