FAS guna pakar sains sukan UiTM bantu tingkatkan prestasi pemain - Utusan Malaysia

FAS guna pakar sains sukan UiTM bantu tingkatkan prestasi pemain

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM – Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) mengambil pendekatan terbaharu dengan menggunakan pakar sains sukan Universiti Teknologi Mara (UITM) bagi meningkat prestasi para pemainnya. 

Presiden FAS, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah, pemilihan UiTM adalah bersesuaian dengan kepakaran mereka yang telah dikenali dalam bidang itu selain mempunyai peralatan dan teknologi terbaharu dalam sains sukan di negara ini.

Titahnya, ini akan memberikan asas lebih kukuh kepada pemain dalam sains sukan termasuklah aspek fizikal, rehabilitasi, nutrisi, analisis prestasi serta psikologi sukan.

“Saya melihat kerjasama ini bakal menguntungkan kedua-dua pihak di mana FAS bakal menikmati peningkatan prestasi pemain sementara UiTM pula dapat menyalurkan kepakaran selain ruang pendedahan di dalam industri kepada pelajarnya.

“Ini juga salah langkah penting dalam merealisasikan misi dan visi saya menjadikan pasukan Selangor sebuah pasukan bola sepak yang digeruni dalam negara dan rantau ini,” titahnya ketika majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Antara UiTM dan FAS di sini hari ini.

MoU itu ditandatangani antara Setiausaha Agung FAS, Dr. Johan Kamal Hamidon dan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar UiTM, Datuk Abdullah Mohamad Said yang turut disaksikan Tengku Amir.

Turut hadir adalah Naib Canselor UiTM, Prof Emeritus Datuk Dr. Hassan Said.

Sementara itu, Hassan menjelaskan MoU tersebut akan dilakukan selama tiga tahun dan berharap kerjasama itu mampu membantu FAS kembali menjadi gergasi bola sepak negara.

“Kita berharap menerusi penerapan sains sukan ia akan memberikan manfaat termasuk dari segi kajian akdemik dan pembelajaran di universiti ini,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN