BATU PAHAT – Empat kru bot malim OPL Marine Logistic 45 dan dua kru kapal tangki Gas Infinity cedera selepas bot malim meletup ketika melakukan kerja-kerja pemindahan barang dalam satu kejadian di perairan Pulau Sialu di sini petang semalam.
Dalam kejadian pada pukul 6 petang itu, kru bot terdiri daripada empat lelaki warga Malaysia dan dua warga China berusia 29 hingga 48 tahun itu melecur pada bahagian muka, tangan dan kaki.
Pengarah Zon Maritim Malaysia (APMM) Batu Pahat, Komander Mohamad Othman berkata, sebaik sahaja menerima laporan berhubung insiden berkenaan, seramai lima anggota dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Sebaik tiba, pihak kami mendapati terdapat kesan letupan pada kapal malim yang berada dalam keadaan bertambat pada sebelah kapal tangki Gas Infinity yang bertujuan untuk melakukan kerja-kerja pemindahan barang.
“Dalam insiden tersebut, empat kru kapal malim bersama dua kru kapal tangki berusia lingkungan 29 hingga 48 tahun didapati mengalami kecederaan melecur akibat terkena letupan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mohamad berkata, kesemua mangsa dibawa ke jeti Zon Maritim Batu Pahat bagi diserahkan kepada pihak ambulan sebelum dikejarkan ke Hospital Sultanah Nora Ismail di sini untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Jelasnya, punca kejadian masih di dalam siasatan oleh Zon Maritim Batu Pahat. – K! ONLINE










