Empat maut Perodua Viva dirempuh bas ekspres - Utusan Malaysia

Empat maut Perodua Viva dirempuh bas ekspres

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ROMPIN – Sepasang suami isteri bersama dua anak saudara mereka disahkan meninggal dunia selepas kereta Perodua Viva yang dinaiki bertembung dengan sebuah bas ekspres di Kilometer 131.2 Jalan Kuantan-Johor Bahru dekat Rompin pukul 1.40 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superintendan Azli Mohd. Noor berkata, pasangan berkenaan, Mohamad Syahmi Emir Mohd. Rawi dan Nur Diana Afifah Hasnulhady disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di seluruh badan.

Tambah beliau, dua anak saudara mereka yang merupakan adik-beradik iaitu Yasmin Aliah Hazemi, 14, dan Yasmin Afiqah Hazemi, 12, turut disahkan maut di lokasi nahas akibat cedera parah.

Menurut Azli, kejadian berlaku selepas bas ekspres tersebut dari arah Kuantan menuju Johor Bahru, Johor itu memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan Perodua Viva yang dinaiki semua mangsa.

kemalangan
Keadaan Perodua Viva yang remuk akibat kemalangan tersebut.

 

“Kereta tersebut terseret sejauh kira-kira 30 meter dan terjatuh ke dalam parit di sebelah kanan jalan menuju ke Kuantan.

“Pemandu dan tiga penumpang Perodua Viva disahkan maut di tempat kejadian. Pemandu bas bersama 30 orang penumpang tidak mengalami kecederaan,” katanya.

Keempat-empat mangsa yang meninggal dunia tersebut dihantar ke Hospital Rompin untuk bedah siasat dan akan dibawa pulang ke kampung mereka di Mersing, Johor untuk urusan pengebumian.

Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN