Dua kementerian terima teguran punitif - Utusan Malaysia

Dua kementerian terima teguran punitif

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 3 Dis. – Kementerian Belia dan Sukan serta Kementerian Pengangkutan antara dua kementerian yang mendapat teguran secara punitif daripada Laporan Ketua Audit Negara Siri Kedua.

Ketua Audit Negara, Tan Sri Dr. Madinah Mohamad berkata, teguran punitif itu bukan membawa maksud kesalahan yang dilakukan dua kementerian terbabit telah dibuktikan.

“Perlu ada siasatan lanjut oleh pihak berkaitan, jika melibatkan kecuaian awam, maka siasatan akan dijalankan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam.

“Kalau melibatkan pihak ketiga seperti kontraktor atau konsultan maka ia juga akan disiasat oleh Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) dan pihak berkuasa,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar bersama Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee di Parlimen, hari ini.

Terdahulu, Madinah menyampaikan Buku Laporan Ketua Audit 2017 Siri Kedua kepada Ronald selepas menyampaikan taklimat selama tiga jam kepada seluruh ahli jawatankuasa PAC.

Dalam perkembangan lain, Ronald yang juga Ahli Parlimen Beluran memberitahu, bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang akan dipanggil PAC esok bagi membantu siasatan berhubung dakwaan pindaan Laporan Akhir Pengauditan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

“Seterusnya, PAC akan memanggil Madinah dan bekas Pengarah Sektor Audit Kerajaan, Saadatul Nafisah sebagai saksi, lusa,” katanya. – UTUSAN ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN