Dua ditahan kes senjata api buatan sendiri - Utusan Malaysia

Dua ditahan kes senjata api buatan sendiri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUMUT 20 Dis.- Polis merampas dua senjata api dipercayai buatan sendiri berikutan penahanan dua lelaki di dua lokasi berasingan di sini kelmarin.

Timbalan Ketua Polis Daerah Manjung, Deputi Superintenden Chong Boo Khim berkata, dalam serbuan pertama pada pukul 3.10 petang Selasa lalu, pihaknya menahan seorang suspek berusia 52 tahun di rumahnya di Kampung Gunung Tunggal, Changkat Keruing dekat sini.

Menurutnya, siasatan mendapati suspek yang merupakan seorang mekanik enjin bot sangkut, membuat senjata api di dalam bengkel membaiki enjin bot miliknya yang terletak bersebelahan rumahnya.

“Daripada pemeriksaan, polis merampas selaras senapang panjang yang diubah suai menjadi senapang patah yang disembunyikan di tepi dinding,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Daerah (IPD) Manjung di sini hari ini.

Boo Khim berkata, senapang buatan sendiri itu dipercayai dijual kepada pembeli di Manjung dan orang luar yang minat memburu.

Katanya, suspek ditahan reman selama enam hari bermula kelmarin hingga 23 Disember ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Senjata Api 1971.

Menurut Boo Khim, penangkapan suspek tersebut membawa satu lagi penahanan seorang lelaki berusia 41 tahun pada hari yang sama di Taman Sitiawan di sini pada pukul 6.30 petang.

“Hasil pemeriksaan, polis menemukan selaras senapang panjang yang diubah suai menjadi senapang patah, 154 butir peluru hidup, seunit kompas, seunit laser dan satu batang spring besi dan seunit telefon bimbit.

“Hasil siasatan mendapati suspek memperoleh senapang patah daripada suspek pertama yang ditahan dan diberi sebagai hadiah persahabatan,” katanya.

Katanya, siasatan masih lagi dijalankan dan polis akan membuat rampasan dan tangkapan dalam masa terdekat.

Katanya, suspek kedua turut ditahan reman selama enam hari bermula 18 hingga 23 Disember ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 8a Akta Senjata Api 1971.

“Orang awam dinasihatkan supaya tidak membeli senjata api daripada mana-mana pihak dan sesiapa yang mempunyai senjata api buatan sendiri harus menyerahkannya kepada pihak berkuasa,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×