Dr. Siti Hasmah harap keluarga Muhammad Adib bersabar - Utusan Malaysia

Dr. Siti Hasmah harap keluarga Muhammad Adib bersabar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 3 Nov.- Isteri kepada Perdana Menteri, Tun Dr. Siti Hasmah Mohamad Ali berharap keluarga Muhammad Adib Mohd.Kassim, 24, yang cedera dalam insiden rusuhan di Kuil Sri Maha Marriamman, USJ25, Subang Jaya dekat sini pada Selasa lalu bersabar atas kejadian menimpa anggota bomba berkenaan.

Menurutnya, beliau turut berharap anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya yang sedang mendapatkan rawatan di Institut Jantung Negara (IJN) di sini agar cepat sembuh seperti sedia kala.

“Saya juga ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada kakitangan IJN yang bertungkus lumus merawat Muhammad Adib sepanjang dia dirawat di sini.

“Tidak dilupakan kepada pihak JBPM yang bertugas bagi mengurus dan memastikan kebajikan keluarga Muhammad Adib terjaga sepanjang tempoh rawatan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dr. Siti Hasmah hari ini meluangkan masa kira-kira 30 minit bagi melawat serta melihat sendiri perkembangan Muhammad Adib yang kini dirawat di IJN di sini.

Kehadiran beliau disambut Timbalan Pengarah JBPM Kuala Lumpur, Abu Obaidat Mohamad dan pegawai kanan IJN, Datuk Dr. Ezani serta keluarga Muhammad Adib.

Dalam pada itu, Dr. Siti Hasmah turut berpesan agar semua anggota bomba berhati-hati dalam menjalankan tugas bagi mengelakkan kejadian tak diingini berlaku.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN