URA-URA atau perancangan kerajaan Malaysia Baharu, Pakatan Harapan (PH) sebelum ini untuk menandatangan Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) pada Mac 2019 yang ditimbulkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P. Waytha Moorthy sewajarnya mendapat bantahan keras majoriti rakyat terutama dalam kalangan orang Melayu dan bumiputera di negara ini.
Banyak bantahan telah ditunjukkan oleh beberapa pihak termasuk NGO-NGO dengan mengadakan demonstrasi secara aman. Juga, banyak laporan polis dibuat termasuk mendesak pemecatan menteri terbabit oleh dua parti politik pembangkang paling dominan, UMNO dan Pas yang berasaskan perjuangan Melayu Islam.
Sebagai kemuncaknya, satu perhimpunan secara besar-besaran untuk sama ada meraikan pembatalan ratifikasi ICERD selain meluahkan isi hati rasa tidak puas hati terhadap isu-isu berkepentingan Melayu.
Yang menariknya, sebuah parti gabungan Pakatan Harapan iaitu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) melalui Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin juga turut menolak atau membantah cadangan tersebut.
Dalam pada itu, ketika menghadapi isu-isu tentang bahasa Kebangsaan atau bidang pelajaran di mana badan-badan guru dan persatuan penulis baik di peringkat nasional juga negeri-negeri yang sering menjadi juara menentang atau melaungkan bantahan, sebaliknya kali ini tidak pula berbuat demikian ketika berdepan isu ICERD? Mengapa?
Apakah hakikat ini sedikit sebanyak menunjukkan sikap dan pendirian dua golongan yang disebutkan ini lebih mementingkan profesionalisme yang lebih dekat dengan mereka berbanding isu yang menyentuh soal bangsa dan negara pada keseluruhannya.
Mungkinkah sikap kaum pendidik, juga penulis termasuk para sasterawan, karyawan, seniman dan artis supaya cintakan negara dan tanah air tidak begitu tebal atau menonjol sehingga boleh dipertikaikan? Dan tidak seperti apa yang dipamerkan orang ramai dalam kalangan badan bukan kerajaan (NGO) dan pertubuhan politik di negara ini?
Atau mungkinkah semangat patriotik cintakan tanah air sendiri telah beransur lenyap atau semakin menipis dalam kalangan guru dan karyawan sekarang jika dibandingkan dengan semangat yang dibuktikan oleh dua golongan ini semasa menuntut kemerdekaan dahulu dan pada tahun-tahun awal pasca merdeka?
Pada hakikatnya, pelbagai alasan disuarakan golongan membantah atau menentang cadangan ratifikasi ICERD yang didakwa bercanggah dengan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan dan telah dipersetujui bersama dan dikhuatiri bakal mengheret kedudukan Raja-Raja, hak-hak istimewa Orang Melayu dan kaum bumiputera di Sabah dan Sarawak. Hal ini tidak boleh dipandang ringan oleh mana-mana pihak sekalipun.
Mengenai timbulnya dakwaan kononnya berlaku diskriminasi kaum di Malaysia yang sengaja dicanang serta dihebohkan hingga ke luar negara, mana-mana kumpulan, waima individu yang berandaian sedemikian wajar membuka mata lebih luas dengan hati yang jujur bahawa suasana negara ini jauh lebih baik jika hendak dibandingkan dengan sesetengah negara tertentu dunia?
PENULIS ialah bekas Pengarang Utusan Zaman Kumpulan Akhbar Utusan.










